Pelakon Shima Anuar, 30, menyatakan dia sudah tidak terlibat dengan proses penyediaan Laksambys sejak beberapa minggu lalu.

Shima terpanggil untuk menjelaskan situasi sebenar selepas terdapat segelintir pelanggan yang berasa risau disebabkan dirinya positif Covid-19.

Menurut Shima, dia sudah menyerahkan kepada kakaknya untuk mengambil alih tugas itu disebabkan dia bakal memulakan penggambaran.

"Siapa yang beli laksam, korang jangan risau sebab saya memang tak ada kena mengena. Sebenarnya dah lama saya tak buat Laksambys, saya dah bagi dekat kakak saya untuk uruskan.

"Saya dah mula sibuk buat persediaan untuk penggambaran. Jadi, saya memang tak terlibat langsung.

"Agen saya ada cerita yang ada pelanggan tanya mereka kena buat swab test tak sebab saya dah positif Covid-19. Ya Allah, jangan risau tak perlu untuk buat," katanya menerusi sebuah rakaman video di Instagram (IG).

Dalam pada itu, pelakon filem Hospital berharap agar penjelasan yang diberi telah menjawab segala spekulasi.

"Agen pun dah lama saya tak jumpa. Korang boleh ja beli Laksambys macam biasa, support agen-agen saya.

"Kepada agen, saya minta maaf sebab korang terpaksa untuk lalui semua ini. Saya harap isu ini dah jelas la," katanya lagi.

Terdahulu, Shima mengadu sesak nafas dan sakit kepala sejak Jumaat lalu.

Selepas membuat ujian calitan pada Sabtu lalu, ibu kepada dua orang anak itu disahkan positif COVID-19.

BACA: Ambil Inisiatif Buat Ujian, Shima Anuar Positif COVID-19 Walaupun Tiada Kontak Rapat