Berita
Peluang Terbaik Pelajar Tempatan Timba Ilmu Bersama Produksi Hollywood
Bayangkan jika ada pelajar Malaysia berpeluang menimba pengalaman bekerja dengan produksi filem Hollywood sehingga terbabit dalam pembikinan filem bertaraf antarabangsa.
Ia mungkin dianggap angan-angan tapi tidak mustahil boleh dicapai jika wujud platform yang dapat menghubungkan antara pelajar dengan pihak produksi di sana.
Bagaimanapun, ia bakal mencipta sejarah buat industri perfileman tanah air apabila kumpulan pelajar tempatan pertama dihantar ke luar negara di universiti antarabangsa yang bekerjasama dengan produksi Hollywood pada tahun depan.
Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen menyatakan FiTA menjalinkan kerjasama dengan 4 universiti di United Kingdom menerusi memorandum persefahaman (MoU) dalam memperkasakan industri kreatif antara kedua pihak.
"Ini memberi peluang pada pelajar bukan saja menjalani latihan praktikal di sana tapi bekerja sambil menimba ilmu dan pengalaman di peringkat antarabangsa.
"Malah, pensyarah tempatan juga dapat memberikan perkhidmatan di sana manakala pensyarah di sana datang ke sini untuk mambantu industri kreatif negara dari sudut ilmu dan perkembangan," katanya pada Astro Gempak.
Menariknya, universiti antarabangsa yang menjalinkan kerjasama ini turut mempunyai hubungan akrab dengan produksi filem Hollywood termasuk stesen televisyen terkemuka seperti BBC.
"Pihak UiTM juga membantu sikit pada pelajar-pelajar ini tapi kerjasama ini diharapkan dapat membuka minda semua terhadap industri kreatif tempatan yang dianggap sebagai 'show' bisnes yang boleh menjana pendapatan sehingga ke peringkat antarabangsa.
"Mereka (universiti di sana) turut mengharapkan bisnes daripada industri kreatif di sini. MoU ini membantu untuk saling kenal mengenal dan membuka peluang dalam bidang industri kreatif, pengajaran dan pembelajaran filem, teater dan animasi untuk berkecimpung ke peringkat antarabangsa," katanya.
Jelasnya, pemilihan universiti berkenaan adalah berkaitan dengan bidang seni kreatif.
Dalam kunjungan Dr A Razak Mohaideen bersama beberapa pensyarah kanan UiTM ke UK baru-baru ini berjaya memeterai MoU dengan 4 universiti antarabangsa iaitu University of Oxford Brookes, UWE Bristol, University of Wolverhampton dan University of Strathclyde.
"Kerjasama ini juga secara tidak langsung mengalakkan pelancongan dan menjana pendapatan ke peringkat dunia.
"Corak pembelajaran dan pengajaran antara kita dengan universiti di sana tidak banyak beza tapi kita mempunyai sasaran untuk membawa profesor dari luar negara sebanyak 3 peratus ke sini sebagai pensyarah sepenuh masa," katanya.
Pengarah filem terkenal ini juga menambah kerjasama strategik ini juga melibatkan pemindahan teknologi dari luar negara ke UiTM.
FiTA sebelum ini memperkenalkan program 2U1I iaitu pengajian selama dua tahun di universiti manakala setahun praktikal di dalam bidang industri. Kumpulan pertama pelajar ini yang terbabit dalam latihan industri ini akan bermula pada September 2019.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Dr A Razak Mohaideen
Must-Watch Video