Pernah menyatakan dirinya sudah bosan hidup mewah, Raffi Ahmad memang betul betul tidak peduli mengenai pengaliran wang yang dibelanjakannya.

Digelar ‘Sultan’ dalam kalangan penggemar di Indonesia, Raffi baru baru ini secara tak langsung membuktikan wang yang banyak mampu membuat dia dan keluarga bukan sahaja memiliki segalanya, tetapi menjemput individu berpengaruh di dunia.

Terkini, untuk membuat anak lelaki sulungnya, Rafatar gembira, Raffi telah mengundang salah seorang pemain bola sepak legenda dunia, Michael Owen ke kediamannya di Jakarta.

Owen dijemput hadir ke kediamannya untuk ikut serta meraikan perayaan ulang tahun ke-7 Rafatar.

Tentu sahaja dalam lambakan artis dan bintang papan atas yang dijemput Raffi ke majlis ulang tahun tersebut dari Gading Marten, Nia Ramadhani beserta anak-anaknya, Irwansyah sehingga Sarwendah, namun kehadiran Owen mencuri tumpuan netizen.

“Seriuslah Owen datang ulang tahun Rafatar?”tulis seorang pengguna sosial.

Malah ramai yang cemburu kerana melihat sepotong video Owen dilihat berbicara dan menyantuni Rafatar di dalam rumah.

Diketahui Owen yang pernah bermain dengan kelab Manchester United dan Liverpool itu hadir ke Indonesia selama tiga hari.

Dia hadir bersempena undangan untuk menonton bersama peminat perlawanan Big Match Liverpool vs Manchester United, pada 23 Ogos ini.

Sementara itu, ulang tahun sebenar Rafatar adalah pada 15 Ogos lalu, namun kedua ibu bapanya yang merupakan selebriti terkenal baru sempat mengadakan pesta ulang tahun anak mereka pada 20 Ogos lalu.