Seorang pembaca berita di New Delhi hanya mengetahui berita tentang kematian suaminya ketika membaca berita secara langsung.

Pembaca berita yang dikenali sebagai Supreet Kaur, 28, bekerja di stesyen televisyen IBC24 dilihat tenang ketika mendengar laporan tentang satu kemalangan maut yang melibatkan suaminya.

Sewaktu rakan wartawan yang berada di lokasi kejadian melaporkan berita tersebut menerusi panggilan telefon, dia mula menyedari bahawa mangsa yang terlibat adalah suaminya sendiri.

Perkara itu disedari oleh Kaur apabila rakan wartawannya menyebut tentang kenderaan yang dinaiki mangsa dan lokasi kejadian.

Walaupun nama mangsa yang terbunuh tidak disebut, Kaur telah menyedari bahawa suaminya, Harshad Kawade adalah salah seorang daripada mangsa yang maut.

Apa yang membuatkan editor kanan serta rakan setugas lain kagum dengannya, Kaur telah meneruskan tugasnya dan membaca berita seterusnya selama lebih 10 minit.

Mereka yang berada di bilik berita itu tidak sanggup untuk memberitahu Kaur tentang kemalangan itu.

”Kami tidak sanggup memberitahu dia. Kami tidak sanggup!

”Dia dapat merasakan bahawa kenderaan yang terbabit dalam nahas itu adalah kenderaan suaminya,” kata editor kanan unit berita yang kagum dengan sifat profesional Kaur.

Kaur bagaimanapun tidak dapat menahan kesedihan dan akhirnya menangis setelah selesai menyampaikan berita pada hari tersebut.

Kaur juga telah bergegas ke lokasi kemalangan sebaik selesai bertugas.

Dia telah bekerja di stesyen televisyen itu selama sembilan tahun dan merupakan antara pembaca berita paling popular di sana.

Berikut kami kongsikan video saat Kaur menerima laporan tentang kematian suaminya:



Sumber : NBC News
Olahan : Izzat Ridzwan