Sekilas
- Tyra Kamaruzzaman beri kata semangat kepada Azfar Heri selepas perkongsian rumah barunya yang jadi perhatian netizen.
- Tyra tekankan sama ada sewa atau beli, ia hasil usaha sendiri yang patut dibanggakan tanpa perlu penjelasan kepada orang lain.
- Azfar baru-baru ini pindah ke kediaman mewah di tengah Kuala Lumpur, namun ada netizen yang beri sindiran tentang rumah tersebut.
Personaliti media sosial, Tyra Kamaruzzaman tampil menitipkan kata-kata semangat buat pempengaruh, Azfar Heri susulan perkongsiannya mengenai rumah baharunya yang menjadi perhatian netizen.
Menerusi perkongsian di Threads, Tyra berkata sama ada seseorang itu menyewa atau membeli rumah, kedua-duanya tetap merupakan hasil usaha sendiri yang perlu dibanggakan.
“Awak sewa atau beli ke, itu adalah hasil kerja keras awak dan tiada siapa yang boleh padamkan cahaya diri awak dan meminta awak untuk buat sebaliknya,” tulisnya.
Dalam masa sama, Tyra menasihati Azfar agar tidak perlu menjelaskan apa-apa kepada orang lain, sebaliknya terus menghargai setiap pencapaian dalam hidupnya.
“Awak tak perlu jelaskan pada sesiapa. Raikan setiap pencapaian hidup awak,” ujarnya.
Terdahulu, Azfar berkongsi berita gembira mengenai dirinya yang memulakan fasa baharu dalam kehidupannya dengan berpindah ke sebuah kediaman mewah yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, berita tersebut mengundang sindiran segelintir netizen yang mempersoalkan mengenai kediaman berkenaan.