Astro Ceria dengan berbesar hati melancarkan Légénda, siri telefilem di mana watak dan jalan ceritanya diinspirasikan oleh kisah-kisah legenda dari zaman dahulukala serta puteri-puteri Nusantara.

Bagi membawa kelainan demi menyediakan kandungan yang menarik serta serba relevan sebagai pembuka tirai tahun baharu ini, siri telefilem Légénda menerapkan pelbagai elemen moden dalam penceritaan, malah menjadikan tema pemerkasaan wanita antara fokus utama.

Saksikan Légénda Puteri Bulan yang akan disiarkan pada 6 Januari (hari ini), jam 9 malam di Astro Ceria HD (611) dan Astro Ceria (631). Manakala, telefilem kedua dari siri ini, Légénda Puteri Felora pula akan disiarkan pada 13 Januari (Rabu) pada waktu yang sama.

Kedua-dua telefilem ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan On Demand.

Menurut Penolong Naib Presiden Kandungan GenNext Studios Astro, Yasmin Yahya, siri telefilem ini merupakan satu peluang untuk menzahirkan kisah zaman dahulu dan puteri-puteri Nusantara dalam nafas baharu yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

“Kami melihat siri telefilem Légénda ini sebagai satu peluang untuk menzahirkan kisah-kisah zaman dahulukala dan puteri-puteri Nusantara yang disajikan dalam nafas baharu, sesuai untuk santapan seisi keluarga.

"Dengan suntikan komedi dan fantasi, kami mengharapkan siri telefilem Légénda ini sedikit sebanyak dapat mencetuskan minat Gen Alpha (mereka yang lahir selepas tahun 2010) terhadap kisah-kisah legenda Nusantara, sekali gus mengabadikannya dalam sorotan kandungan kami agar ia tidak lapuk dek zaman.

"Menarik lagi, pemerkasaan wanita menjadi salah satu fokus utama naskah Légénda Puteri Bulan dan Légénda Puteri Felora ini, yang mana ia mengetengahkan protagonis bersifat bijak, baik hati, tidak mudah mengalah dan berjiwa besar," katanya.

Yasmin menambah, pihaknya menyedari kepentingan representasi positif bagi watak wanita dalam sesebuah karya terutamanya yang disaksikan oleh golongan kanak-kanak.

"Selaku peneraju kandungan hiburan utama tanah air, kami menyedari kepentingan representasi positif bagi watak wanita dalam pembikinan sesebuah karya, terutamanya kandungan yang disaksikan oleh anak-anak kecil.

"Justeru itu, watak progresif Puteri Bulan dan Puteri Felora diharapkan dapat menjadi inspirasi untuk semua, sama ada perempuan mahupun lelaki, kanak-kanak atau dewasa terutamanya dari segi keyakinan diri," katanya lagi.

Légénda Puteri Bulan - Pengarah : Bob Husaini

Puteri Zaleha (Uyaina Arshad) dilahirkan istimewa kerana mempunyai darah putih yang mampu menyembuhkan penyakit, lalu beliau menjadi kesayangan semua kerana usahanya untuk membantu rakyat. Manakala adiknya, Puteri Mariam (Putri Hanan), tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan inginkan perhatian dari kakaknya. Apabila Puteri Zaleha menerima pinangan yang tidak boleh ditolak daripada Raja Achewah, Puteri Mariam memulakan ekspedisi untuk menyelamatkan kakaknya dan juga negaranya, Sukalangka.

Dibintangi oleh Uyaina Arshad, Putri Hanan, Nabil Aqil, Bell Ngasri dan ramai lagi. Ia turut menampilkan watak cameo selebriti popular seperti Zizan Razak, Johan As'ari dan Rozita Che Wan.

Légénda Puteri Felora - Pengarah : Ben Nambiar

Puteri Felora (Ruhainies) ialah puteri tunggal kerajaan Azania yang tidak menurut perintah ibu bapanya. Akibat pilihannya itu, Puteri Felora terperangkap di zaman moden bersama Mangko, arnab kesayangannya (Cik B). Di dunia masa kini, Puteri Felora diselamatkan oleh Mama (Vanidah Imran) dan keluarganya, namun Puteri Felora perlu segera mencari jalan pulang untuk menyelamatkan Azania dari kemusnahan.

Dibintangi oleh Ruhainies, Aiman Tino, Vanidah Imran, Dynas Mokhtar, Lana Nodin dan ramai lagi.

Jadi, mari sama-sama nantikan kedua-dua telfilem ini, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!