Sejak memulakan karier sebagai pelakon sekitar dua tahun lalu, nama Syafi Tee mula mekar di bibir peminat.

Membuat kemunculan perdana menerusi siri Tuan Danial, pemilik nama lengkap Mohd Syafi Mohd Ridhuan Tee itu dilihat semakin laris membintangi beberapa lagi drama dan telefilem.

Antara drama-drama yang pernah dibintanginya termasuklah Hadiah Dari Tuhan, Romantika 4 Hari 3 Malam, Dear Cinta dan Budak Intern.

Selain itu, dia juga membintangi telefilem berjudul Tanah Kubur Peneman yang pernah disiarkan di Astro Citra.

Justeru, tidak hairan jika setiap gerak gerinya menjadi perhatian, khususnya pengikut-pengikutnya yang berada di laman sosial.

Terbaharu, anak kepada pendakwah Ridhuan Tee itu telah berkongsi sepotong video yang memperlihatkannya mengenakan baju Melayu berona hijau lengkap dengan songkok.
@syafitee1

♬ yeah hot people use this sound - cxaluv

Siapa sangka, video yang hanya berdurasi lapan saat itu telah mencetuskan ‘galau’ dalam kalangan peminatnya.

“Tolong beritahu yang kamu telah mempunyai teman wanita supaya saya boleh teruskan kehidupan,” tulis seorang pengikutnya.

“Saya sudah jumpa suami saya,” komen seorang lagi peminatnya.

Selain itu, ada juga peminat yang secara berseloroh mengatakan tiada guna jika Syafi kelihatan sebegini kacak tetapi tidak menjadi miliknya.

“No point look this good yet still not mine. Kbye,” responsnya.