Sekilas
- Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut dibaham singa ketika merakam video TikTok di pusat pembiakan haiwan persendirian di Lahore, Pakistan.
- Pemilik pusat dan seorang pempengaruh media sosial yang terlibat ditahan polis selepas didakwa cuba menyembunyikan kejadian sebenar dengan menipu bahawa serangan itu dilakukan oleh anjing.
- Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada pusat pembiakan tersebut mematuhi peraturan keselamatan dan memiliki permit sah untuk memelihara haiwan pemangsa.
Hasrat seorang remaja lelaki untuk menghasilkan kandungan media sosial berakhir dengan tragedi apabila dia maut dibaham singa.
Insiden tersebut berlaku ketika mangsa yang dikenali sebagai Taha, menjalani penggambaran video TikTok di sebuah pusat pembiakan haiwan persendirian di Lahore, Pakistan.
Mangsa yang berusia 19 tahun itu diketahui bekerja di pusat pembiakan berkenaan yang terletak di bandar Lahna.
Memetik kenyataan polis, BBC melaporkan seorang pempengaruh media sosial, Noman Hassan, yang mempunyai kira-kira 2.5 juta pengikut di Instagram dan 928,000 pengikut di TikTok, tiba di pusat berkenaan sebelum memanggil Taha untuk merakam video bersama seekor singa.
Berdasarkan laporan aduan yang dibuat oleh bapa mangsa, Munir Ahmed, Hassan didakwa mengeluarkan singa berkenaan dari sangkarnya sebelum mula merakam video.
Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi tragedi apabila haiwan buas itu secara tiba-tiba menyerang Taha.
Hassan kemudian membawa mangsa ke sebuah hospital swasta berhampiran, namun remaja berkenaan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Susulan kejadian itu, pihak polis menahan Hassan bersama pemilik pusat pembiakan berkenaan yang dikenali sebagai Fayyaz, selain mengarahkan premis tersebut ditutup.
Polis turut mendakwa kedua-dua individu berkenaan cuba menyembunyikan kejadian sebenar dengan menggambarkan insiden itu sebagai serangan anjing.
Jurucakap polis Lahore menegaskan keselamatan nyawa manusia tidak sepatutnya dipertaruhkan hanya kerana kandungan media sosial.
“Minat terhadap TikTok tidak boleh dianggap lebih penting daripada nyawa manusia.
“Tiada sesiapa dibenarkan membahayakan nyawa orang lain atas alasan hobi atau hiburan. Cubaan menyembunyikan fakta serta setiap aspek kecuaian akan disiasat,” katanya.
Pihak polis turut menyiasat sama ada pusat pembiakan berkenaan memiliki permit sah untuk memelihara haiwan pemangsa itu serta mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan.
Difahamkan, akaun media sosial Hassan dipenuhi ratusan video yang memaparkan dirinya berinteraksi dengan haiwan pemangsa termasuk singa dan spesies kucing besar lain.
Malah, ada rakaman menunjukkan dia bermain secara kasar dengan haiwan berkenaan.
Untuk rekod, pemilikan singa, cheetah, harimau, puma dan jaguar di Pakistan dianggap sebagai simbol status dalam kalangan golongan tertentu dan dibenarkan di sisi undang-undang dengan syarat haiwan tersebut didaftarkan serta bayaran sekali sahaja sebanyak 50,000 rupee Pakistan (kira-kira RM700) dijelaskan.
Bagaimanapun, peraturan menetapkan haiwan berkenaan perlu ditempatkan di luar kawasan bandar.
Pada Januari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun turut kehilangan sebelah tangannya selepas diserang singa peliharaan di sebuah pusat pembiakan persendirian di kawasan Sabzazar, Lahore.
KREDIT FOTO HIASAN: AFP