Berita
Penangan 'Deen Assalam' Tarik Perhatian Peminat Bukan Islam, Bakal Singgah Jumpa Peminat Di Malaysia
Populariti lagu Deen Assalam di media sosial cukup memberangsangkan sehingga melonjak nama kumpulan Sabyan dikenali ramai.
Lagu tersebut yang dimuat naik menerusi platform YouTube sejak 5 bulan lalu sudah mencecah 169 juta tontonan.
Malah, apa yang menarik perhatian ramai peminat adalah dalam tempoh 2 bulan lalu, jumlah tontonan meningkat sebanyak 20 juta menerusi platform yang sama.
Advertisement
Di sebalik kelunakan vokal penyanyi utamanya, Khoirunnisa atau lebih dikenali sebagai Nissa yang berjaya menarik perhatian ramai pendengar termasuk kanak-kanak, lagu itu juga menimbulkan rasa cinta peminat bukan Islam untuk turut sama berhibur.
Daripada komen di media sosial, ada peminat bukan Islam ini mengakui mereka terbuka hati mendengar lagu tersebut sehingga memeluk Islam.
Berita baik buat peminat Sabyan di sini, kumpulan yang memperjuangkan lagu ketuhanan yang berasal dari Indonesia ini bakal mengadakan konsert di Stadium Malawai, Shah Alam, Selangor pada 12 Januari 2019.
Ketua Pengawai Eksekutif MHH Laguna Snd Bhd, Muhamad Hariz Harun yang merupakan wakil penganjur berkata, sambutan penonton terhadap persembahan Sabyan sebelum ini memang menggalakkan.
"Saya pernah pergi tonton dua konsert mereka di Mojokerto, Surabaya dan Grogot, Kalimantan Timur, sambutan penonton memang ramai sehingga penuh stadium.
"Sabyan adalah satu kumpulan yang dianggotai 15 ahli manakala 8 daripada mereka beraksi di atas pentas. Menariknya, persembahan mereka turut ditonton peminat bukan Islam," katanya kepada Astro Gempak.
Selain lagu popular, Deen Assalam nyanyian asal Sulaiman Al-Mughni, Sabyan juga popular menerusi lagu Ya Habibal Qolbi ditonton 254 juta menerusi YouTube.
Nissa mempunyai 7.8 juta pengikut di Instagramnya, @nissa_sabyan manakala 2.1 juta pengikut di Sabyan @sabyan_gambus. Kumpulan ini ditubuhkan sejak 3 tahun lalu.
Tiket konsert di Malaysia kali ini berharga dari RM100 sehingga RM900 sudah mula dijual. Bagi peminat yang membeli tiket RM900 (terhad untuk 200 peminat) berpeluang untuk menikmati sesi makan malam bersama Sabyan termasuk tiket konsert dan cenderamata daripada kumpulan itu.
Tiket konsert boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my/konsertsabyan2019.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: IG @sabyan_gambus
Must-Watch Video