Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Penangguhan Hukuman Terhadap Da'i Syed Prosedur Biasa, Tiada Istilah Pakai ‘Kabel' - Peguam

Gempak
21/09/2024 09:25 MYT
Penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan sebat terhadap pendakwah selebriti, Da'i Syed adalah prosedur biasa dan tiada kena mengena kononnya mahkamah boleh 'dibeli'.

Da'i Syed, 29, sebelum ini berada dalam Penjara Kajang selama 21 hari sebelum dibebaskan semalam sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi didengar dan diputuskan.


Penjelasan tentang maksud penangguhan hukuman


Peguam, Dr Mahmud Jumaat berkata, beliau tampil untuk menjelaskan perkara itu selepas melihat pelbagai perdebatan di media sosial kononnya pendakwah itu memakai kabel, mahkamah boleh dibeli dan kritikan terhadap sistem kehakiman negara.

"Semua pihak perlu faham, sebelum ini hakim Mahkamah Sesyen menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan itu.

"Bagaimanapun, pasukan pembelaan Da'i Syed membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam atas sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dan juga memfailkan notis usul untuk memohon penggantungan pelaksanaan hukuman di bawah Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah.

"Perlu jelas ini adalah proses biasa bagi mana-mana pesalah apabila permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman mereka ditolak di Mahkamah Sesyen mereka akan membuat permohonan kedua di Mahkamah Tinggi pula.


"Itulah yang dilakukan oleh peguam tertuduh, permohonan kedua dilakukan di Mahkamah Tinggi dan diterima," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Tiada kabel atau keistimewaan khas


Menurutnya, mahkamah akan meneliti sekiranya keadaan khas yang mewajarkan permohonan diterima antaranya graviti kesalahan itu, tempoh hukuman berbanding tempoh rayuan untuk didengar, rekod kesalahan perayu, sama ada perayu akan melakukan kesalahan yang sama sekiranya dibebaskan, faktor kesihatan dan lain-lain.

"Saya ingin tegaskan, tidak ada kena mengena mahkamah bagi keistimewaan khas, salah guna kuasa dan tertuduh ini pakai 'kabel'.

"Tetapi ini memang prosedur standard biasa yang mana apabila Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman dan permohonan dibuat untuk penangguhan hukuman tetapi ditolak mahkamah.


"Jadi, Syed ini ada peluang kedua buat rayuan di Mahkamah Tinggi dan diterima selepas menilai keadaan tertentu yang mewajarkan dia menangguhkan hukuman," katanya.

Tegas peguam itu, menjadi amalan biasa dalam perundangan negara tertuduh dilepaskan sementara menanti rayuan sabitan dan hukuman di Mahkamah Tinggi.

"Contohnya kes pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi menolak penangguhan hukuman menyebabkan wanita itu kini berada dalam penjara," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:21 Hari Meringkuk Di Penjara Kajang, Da’i Syed Dilepaskan Sementara Hingga Rayuan Didengar

ARTIKEL BERKAITAN:Peguam Asiah Abd Jalil Beri Pandangan Mengenai Kes Da’i Syed - “Saya Rasa Dia Memang Bernasib Malang Kerana…”

ARTIKEL BERKAITAN:Tular Video Da’i Syed Betulkan Tudung Isteri Sambil Tersenyum, Undang Pelbagai Reaksi Netizen - “Buatlah Pilihan Terbaik Selepas Ini, Nak Stay Atau…”

ARTIKEL BERKAITAN:Kes Rogol: "Tindakan Da'i Syed Tidak Dapat Diterima Akal" - Hakim

ARTIKEL BERKAITAN:Da'i Syed Dihantar Ke Penjara Kajang, Mahkamah Tolak Permohonan Tangguh Hukuman

Mohon netizen bertenang


Mahmud berkata, dia berharap netizen bertenang dan jangan mencemuh sistem kehakiman negara terutama hakim yang menjalankan budi bicaranya membenarkan permohonan itu kerana ia adalah proses biasa apabila seseorang itu dalam prosiding rayuan.

"Saya percaya sistem perundangan kita sangat adil, yang bersalah akan tetap menerima hukuman cepat atau lambat," katanya.


Pada 30 Ogos lalu, Syed atau nama sebenar, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman turut menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Pada 10 April 2023, Hakim Rihaida Rafie melepas dan membebaskan pendakwah itu daripada tuduhan berkenaan tanpa memanggilnya membela diri.

Pada 10 Disember 2020, Syed mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun dalam bilik di sebuah kondominium di I-City di Seksyen 7, jam 1.35 malam pada 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro
#Mahkamah #Rogol #Peguam #Kabel #Dai Syed #Penangguhan Hukuman