Laman Utama

Penceramah Bebas Didakwa Lagi Atas Tuduhan Rogol Remaja

gempak
Awani
01/12/2022
09:25 MYT
Sponsor Banner
Penceramah Bebas Didakwa Lagi Atas Tuduhan Rogol Remaja
Seorang penceramah bebas yang sebelum ini didakwa atas sembilan pertuduhan berkaitan seksual terhadap seorang remaja perempuan berumur 14 tahun, hari ini didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan merogol mangsa sama.
Muhammad Fathi Na'im Mazlam, 30, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di sebuah hotel di sini, antara 2 pagi hingga 10 pagi, 3 Disember 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang mempunyai tiga isteri serta lapan anak adalah penanggung utama keluarga.
"Anak guam saya telah hilang punca pendapatan apabila kontraknya dengan sebuah stesen televisyen telah dibatalkan," kata peguam itu.
Hakim Tasnim Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan kesemua syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan sebutan kes pada 17 Januari depan.
"Tertuduh, peguam dan mana-mana pihak diminta tidak mensensasikan kes ini di media sosial," kata Tasnim.
Pada 29 November lepas, penceramah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan hubungan seks dengan objek terhadap remaja berkenaan antara Jun 2021 dan Februari lepas.
BERNAMA menerusi Awani
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live