Salam Muslim
Pencetus Ummah 2015: PU Alen & PU Muhsin Gagal Ke Separuh Akhir
Mimbar Pencetus Ummah 2015 yang berlangsung malam tadi menyaksikan dua penyingkiran berlaku serentak di mana PU Alen dan PU Muhsin tersingkir.
Dengan penyingkiran itu, kedua-dua mereka terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di peringkat separuh akhir pada minggu hadapan.
Mengulas tentang penyingkirannya, PU Alen berkata dia sememangnya sentiasa bersedia setiap minggu untuk tersingkir namun atas ketetapan Allah S.W.T, dia berjaya bertahan sehingga minggu kelima.
Menjelaskan dia akan kembali berniaga char kuey teow di Pulau Pinang, PU Alen yang merupakan anak didik Imam Muda Asyraf ini menambah dia akan terus berdakwah dan bersyukur sekiranya perniagaannya bertambah maju selepas dia menyertai Pencetus Ummah musim ini.
PU Alen atau nama sebenarnya Mohd Azlan Bin Ahmad, 33, sebelum ini pernah mencipta nama di media sosial apabila video dirinya menyanyikan lagu She’s Gone kepada pelanggan char kuey teow gerainya menjadi viral di Youtube dan Facebook.
Sementara itu, PU Muhsin berkata dia menerima penyingkirannya dengan hati terbuka dan menyedari terdapat beberapa kelemahan peribadi pada dirinya berbanding peserta lain.
Tambah PU Muhsin, momentum tazkirahnya juga kurang mantap sejak dari awal menyebabkan dia merasakan penyingkirannya itu wajar.
PU Muhsin adalah bekas penuntut Universiti Al-Azhar di Mesir dan untuk Pencetus Ummah musim ini, dia telah diletakkan dibawah didikan Mualim PU Hafiz.
Selain itu, pemilik nama sebenar Muhsin Bin Ahmad, 27, ini turut menjangkakan sahabatnya PU Syed bakal bergelar juara untuk musim kali ini.
Mimbar Pencetus Ummah 2015 minggu kelima yang bertemakan ‘Filem` telah bersiaran secara langsung dari Auditorium DR Zainuddin Jaafar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Ianya telah dihoskan oleh pasangan pengacara Ustaz Zulkefli Hamat dan Haji Shamsul Ghau Ghau.
Teruskan menonton Mimbar Pencetus Ummah 2015 minggu separuh akhir pada minggu hadapan yang manampilkan 6 lagi peserta bersaing.
Must-Watch Video