Drama premium terbitan Astro Originals, Kampong Pisang Bersiri-siri akan menemui penonton dengan episod kesepuluh iaitu Pomcom Kampong Pisang pada malam Isnin nanti.

Diarahkan oleh sutradara tersohor, Mamat Khalid, episod kali ini menampilkan Ozlynn Wati yang memegang watak Cik Chom Bagan selaku ketua kontraktor dan Joey Daud (Posmen Daud) sebagai pelakon jemputan.

Dalam episod kali ini, penduduk kampung diganggu dengan kelibat hantu pocong yang menyeramkan.

A post shared by Astro Shaw Sdn Bhd (@astroshaw)


Tidak pernah diganggu oleh hantu pocong sebelum ini, penduduk kampung mesti merungkai apakah punca sebenar yang mengganggu keamanan kawasan mereka.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).