Drama premium terbitan Astro Originals, Kampong Pisang Bersiri-siri telah menemui penonton dengan episod kelapan iaitu Hutan dan Penunggunya pada malam ini.

Diarahkan oleh sutradara tersohor, Mamat Khalid, episod kali ini menampilkan Pekin Ibrahim sebagai pelakon jemputan yang memegang watak sebagai Imam Zakaria.

Episod Hutan dan Penunggunya mengisahkan geng Pak Jabit pergi berkelah bersama seorang warga kampung yang dikenali sebagai Pak Deris.

Barkoba dan Madi kemudian pergi ke hutan mencari kayu api dan terjumpa makhluk aneh.

Keadaan jadi huru hara apabila mereka terjumpa mayat Pak Deris yang sudah lama mati.

Adakah kemunculan Iman Zakaria sebagai penyelamat daripada makhluk jahat atau menambahkan lagi misteri hutan di Kampong Pisang?

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).