Berita
'Penembak Tular' Korea Selatan, Kim Ye-ji, Dilamar Peraga Fesyen Louis Vuitton Dalam Majalah W
Persis supermodel hebat.
Itu gambaran penembak wanita Korea Selatan, Kim Ye Ji, yang memperagakan fesyen berprestij Louis Vuitton di Majalah W, baru-baru ini.
Aksi dan gayanya yang bersahaja namun menarik, ketika bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum ini, mencuri tumpuan netizen.
Advertisement
Berkongsi sisi yang tidak pernah dilihat sebelum ini, imej dipamerkan Ye Ji dalam dunia peragaan tidak langsung menampakkan dia seperti baru kecimpung dalam bidang itu.
Berkongsi respons pertama sejurus menerima tawaran untuk penggambaran itu, Ye Ji akur dia terkejut dan mempersoalkan pemilihannya.
"Kenapa saya? Ada ramai lagi yang menang emas, tapi kenapa hubungi saya. Kenapa Elon Musk (jutawan teknologi) sebut nama saya? Saya indvidu yang sama sejak mula menembak di sekolah menengah," katanya.
Ye Ji menjadi tular selepas memenangi pingat perak dalam acara menembak 10 meter wanita di Sukan Olimpik Paris, baru-baru ini.
Dia juga disenarai dalam Top 10 Stars to Watch oleh penyiar Amerika Syarikat (AS) NBC.
Malah Musk turut memuji penampilan Ye Ji di platform X dengan membalas hantaran yang memaparkan penampilan penembak itu di Piala Dunia Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) yang diadakan pada Mei di Baku, Azerbaijan.
"Dia patut membintangi filem aksi, Tidak perlu berlakon!," kata Musk.
Ketika ditanya mengenai keputusan untuk penggambaran itu, Ye Ji berkata, tujuan utama adalah untuk mempromosikan dirinya dan sukan yang diceburinya.
"Bintang Olimpik diberi perhatian dan diingati orang ramai untuk tempoh yang singkat dari yang disangka. Justeru, saya yakin dengan kemunculan di media, lebih ramai yang akan mengenali sukan menembak," ujarnya.
Penembak itu baru-baru ini turut menandatangani kontrak dengan agensi Plfil pada 19 Ogos untuk menyokong aktiviti promosi syarikat itu.
Sumber: Astro AWANI
Must-Watch Video