Seorang pengasuh pusat jagaan kanak-kanak (taska) direman empat hari bagi membantu siasatan kes mengasari dua bayi di sebuah taska swasta di Mutiara Rini, Johor Bahru.

Wanita berusia 21 tahun itu direman bermula hari ini hingga 19 Mei depan selepas kebenaran reman dikeluarkan Majisteret R Salini di Mahkamah Majisteret Johor Bahru, pagi ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan berkata wanita itu ditahan di Bandar Selesa Jaya, Skudai pada jam 2 pagi tadi.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah tadika yang berada di kawasan Mutiara Rini.

Mangsa merupakan kanak-kanak perempuan berumur 11 bulan dan kanak-kanak lelaki berumur 9 bulan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

BACA: Rakaman Video ‘Bainun V2’ Kasari Bayi Kecil Tersebar, Netizen Gesa Pihak Berkuasa Ambil Tindakan

Semalam, dua video tular di media sosial berdurasi 48 saat dan 39 saat menunjukkan seorang perempuan warga tempatan mengasari dua bayi dengan menepuk kepala mangsa dan meniup muka mangsa yang sedang menangis.

ASTRO AWANI