Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar hari ini mengumumkan pengikut Facebook (FB) rasmi baginda kini telah mencecah satu juta.

Jumlah berkenaan sekali gus menjadikan Sultan Ibrahim sebagai raja pertama dalam kalangan Raja-Raja Melayu yang mempunyai jumlah sebegitu di FB.

Menurut kenyataan media dikeluarkan Royal Press Office (RPO) jumlah pengikut mencecah 1 juta itu dicapai kira-kira jam 8.37 pagi ini.

"Daripada 1 juta pengikut itu, 321,118 daripadanya adalah dari Johor, diikuti Kuala Lumpur (103,745) dan Singapura (46,585).

"Laman rasmi FB Sultan Johor, mula beroperasi sejak 31 Mei 2015, turut menunjukkan majoriti pengikut baginda adalah golongan lelaki (59 peratus) yang kebanyakannya dalam kategori umur 25-34 tahun (40 peratus).

"Ia memaparkan pelbagai pengisian yang berguna, di samping maklumat tentang aktiviti serta program baginda yang bertujuan memaklumkan dan mendidik rakyat akan peranan Tuanku sebagai Sultan Johor," menurut kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, menerusi satu titah dimuat naik Sultan Ibrahim di FB rasmi, baginda mengucapkan terima kasih kepada pengikutnya.

"Hari ini laman FB saya sudah mencecah satu juta pengikut. Terima kasih semua," katanya.

Baginda bertitah, FB antara medium sosial penting yang digunakan baginda untuk menyampaikan pelbagai nasihat serta perkara penting dari semasa ke semasa kepada rakyat Johor.