Selepas membuat pendedahan di Instagram (IG), penyanyi dan pelakon Shalma Eliana, 21, menyatakan dia sudah dihubungi oleh penjual Lotus Biscoff, semalam.

Eliana atau nama sebenarnya Shalma Eliana Bruhanutheen berkata dia diminta untuk memadam posting tersebut namun dia memilih untuk tidak menuruti.

"Saya buat tempahan dengan penjual tu pada Februari lalu. Jumlah saya tak sebanyak orang lain, cuma RM300.

"Selepas saya kongsi di IG, peniaga itu ada hubungi saya untuk minta posting itu dipadam. Tapi buat masa sekarang, biarkan dulu.. lagipun saya cakap benda yang jadi.

"Saya pun tak nak besarkan kes ini sampai ke pihak polis sebab jumlah saya bayar tak banyak pun. Saya hanya nak buat benda yang betul.

"Peniaga tu cakap dia nak bayar semula duit saya. Tapi saya tak kisah sangat, yang penting dia selesaikan dengan mangsa lain," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, pelantun lagu Rambang ini melahirkan rasa gembira apabila ada segelintir pembeli sudah mendapat bayaran (refund) duit mereka selepas sekian lama menunggu.

"Kitaorang siap ada group WhatsApp pasal scammer ni. Dalam tu masing-masing luahkan perasaan marah dan sedih.

"Saya diberitahu peniaga itu dah mula kembalikan duit kepada beberapa orang. Ada yang dah dapat semua jumlah duit, ada yang dapat separuh.

"Itu berita gembira untuk saya. Satu progress yang baik untuk mereka," katanya lagi.

Semalam, Eliana mendedahkan dia telah ditipu oleh penjual Lotus Biscoff apabila tempahan yang dibuat tidak diterima seperti yang dijanjikan.

BACA: Shalma Eliana Bengang Kena Tipu Dengan Peniaga Wanita, Dapat DM Ramai Terima Nasib Sama Sampai Rugi RM100,000