Pelakon dan penerbit drama bersiri Bukan Gadis Biasa, Sheila Rusly, tampil mengulas mengenai kemarahan netizen terhadap babaknya menunjal kepala pelakon lain.

Malah, kemarahan netizen tidak terhenti sekadar babak itu sehinggakan ada yang menyerang Sheila menerusi ruangan mesej langsung dengan menghamburkan kata-kata kesat.

Jelas Sheila, penonton seharusnya bijak membezakan realiti dan fantasi.

"Sis dah maafkan mereka yang tak boleh bezakan antara realiti & fantasi.

"Apa pun sis bersyukur sebab berjaya buat komer benci Opah Aminah. Jumpa minggu depan," kata Sheila.



Menerusi sepotong video yang tular minggu lalu, ada dalam kalangan penonton yang tidak berpuas hati apabila adanya babak yang disifatkan keterlaluan.

"Tahulah ni produksi kau Sheila Rusly, tapi tak semestinya kau kena gunakan semua kepala orang kau sentuh. Kau main kepala ya Sheila Rusly," marah seorang penonton.

Malah, ada yang geram dengan karakter yang dijayakan Sheila dalam drama tersebut.

"Rasa nak tumbuk sis sekarang," tulis salah seorang pengguna.

"Woi anjay sial punya nenek tua," kirim pesanan langsung pengguna lain kepada Sheila.

Selain Sheila yang melakonkan watak antagonis, drama itu turut dibintangi Ayda Jebat, Remy Ishak, Nazim Othman, Chacha Maembong dan ramai lagi.