Hiburan
Penyampai Radio Arena Bertugas Dari Rumah
Sejak wabak COVID-19 melanda negara, arahan bekerja dari rumah yang dilaksanakan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu tidak menjadi penghalang buat hos Astro Arena untuk terus memberikan informasi berita terkini sukan tempatan dan antarabangsa.
Buat empat hos yang juga penyampai radio Arena iaitu Burn, Azlan Mubin, Nafis Abdullah dan Dayang Zainatul Aqma, biarpun terdapat beberapa program dan acara sukan yang telah ditunda tetapi tidak bererti mereka juga turut berehat.
Bagi Burn yang juga Ketua Penerbit Radio Arena, kewujudan radio digital ini sejak enam tahun lalu semakin berkembang dengan kepelbagaian, kandungan informasi, berita sukan terkini dan topik-topik hangat yang dibincangkan dengan santai.
Katanya, sebelum perlaksanan PKP, Radio Arena akan bersiaran secara langsung dari konti dan akan disiarkan di platform digital sebagai pentas interaktif lebih dekat antara penyampai dan pendengar berkongsi maklumat dan pendapat.
“Jika sebelum ini kami mempunyai beberapa segmen sendiri untuk ke udara tetapi kini kami melakukan penstriman langsung dari rumah dengan mengunakan aplikasi Zoom untuk menghubungkan kami berempat sebagai penyampai dalam program Radio Ga Ga.
“Selain itu, atlit turut dijemput untuk bersama kami dengan bersiaran dari rumah. Peminat sukan negara boleh menonton kami secara langsung di Facebook Astro Arena,” katanya.
Burn juga mengangap pengalaman baru berkerja dari rumah memberi peluang dan masa yang lebih untuk dirinya menjaga isteri dan bayi pertamanya yang baru lahir.
Sementara itu, bekas sepaktakraw negara, Azlan Mubin berkata, ini merupakan cabaran baru buat dirinya menjadi seorang penyampai radio apabila terpaksa berhadapan dan mengendalikan peminat yang terlalu fanatik dengan dihujani panggilan tidak kira lelaki dan wanita.
“Ini adalah tahun pertama saya terlibat sebagai penyampai radio, saya sendiri terkejut dengan maklum balas positif daripada pendengar. Radio Arena hanya keudara dalam talian namun kami mencatat peningkatan pendengar setiap bulan dan mencecah 800,000 pendengar setakat ini.”
“Walaupun kini kami hanya bersiaran langsung dari rumah bersama tiga penyampai lain di Radio Ga Ga, peminat sukan yang menonton kami di Facebook juga cukup meriah. Mungkin topik yang menarik atau tetamu jemputan seperti Brendan Gan menarik minat mereka untuk bersama kami,” katanya berseloroh.
Jelasnya lagi, dia hanya akan berkerja dari rumah sekiranya bersiaran untuk Radio Ga Ga, ada masanya dia juga harus ke studio memandangkan komitmennya sebagai penyampai berita sukan, Nadi Arena yang bersiaran langsung setiap hari.
Penyampai baru Arena, Nafis Abdullah mungkin ada peminat yang belum mengenalinya dengan lebih dekat namun peminat tegar bola sepak ini telah mencipta pesona di laman sosial YouTube nya dan lebih dikenali dengan panggilan ‘Abang Botak’.
“Sudah tentu ia perkara berbeza apabila bersiaran langsung di Radio Arena pada awal kemunculan dua bulan lalu berbanding platform yang digunakan sebelum ini, namun rakan-rakan lain banyak membantu untuk berkomunikasi dan mengendalikan program dengan lebih baik.
“Tetapi kini, tugas baru mengendalikan program melibatkan empat orang penyampai dalam Radio Ga Ga, kami perlu bijak untuk mengendalikannya. Ditambah dengan kekangan kelajuan internet yang kadangkala terganggu sehingga menjejaskan kelancaran program. Namun, ia tetap satu pengalaman yang berharga,” katanya.
Seorang lagi penyampai wanita, Dayang Zainatul Aqma berkata sebagai penyampai radio sukan setiap informasi yang disampaikan mestilah lengkap dengan fakta yang jelas berkaitan topik yang dibincangkan.
“Sebagai satu-satunya penyampai wanita dalam Radio Ga Ga bersama dengan tiga orang penyampai lelaki yang lain, saya harus bersaing dengan mereka yang hebat dalam arena sukan. Bukan hanya sekadar berceloteh kosong tetapi penuh dengan informasi menarik sukan tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Dayang juga berkata, cabaran berkerja di rumah juga tidak semudah seperti yang disangka lebih-lebih lagi dia kini sudah berbadan dua dan sentiasa berasa mual.
“Ada kalanya saya berasa mual ketika sedang bersiaran, tetapi saya tetap bersemangat untuk berkerja dari rumah kerana saya rindukan suasana kerja dan bersiaran langsung bersama peminat dan pendengar. Kadang-kadang rasa kelakar tapi saya perlu sentiasa bersedia untuk berkerja, ia sesuatu yang menyeronokan,” katanya.
Radio Arena boleh distrim menerusi aplikasi SYOK atau di dengar.arena.my. Radio Arena juga boleh didengari di saluran 882 Astro!
Must-Watch Video