Pembikin filem Melayu, Tan Sri Krishnan Lakshmana meluahkan rasa teruja menyambut hari lahir yang ke-100 hari ini.

Menerusi temu bual yang dikelolakan oleh FMT, Krishnan berkata, mencapai usia 100 tahun dengan kesihatan yang masih baik adalah satu hal yang sangat istimewa.

“Saya makan dengan baik, tidur seperti bayi, dan bangun setiap pagi bersyukur kerana masih hidup.

“Tetapi saya agak bimbang bahawa saya mungkin berada dalam keadaan yang lebih baik daripada kesihatan Malaysia (sekarang),” katanya.

Krishnan merujuk pada kos sara hidup yang meningkat, masyarakat terpolarisasi dan ketidakstabilan politik.

Walaupun dia berasa kecewa dengan isu-isu di Malaysia, Krishnan menyatakan harapan untuk masa depan.

Menurut laporan FMT, Krishnan kini menetap di Chiang Mai, Thailand bersama isteri keduanya, Rukhmanee, wanita asal Thailand yang pernah bergelar jururawat di sebuah klinik kosmetik.

Dalam pada itu, Krishnan menyatakan yang dia rindu untuk menyambut hari jadi dan Deepavali dengan mereka yang kurang bernasib baik di Malaysia, terutama rumah perlindungan kanak-kanak di Lembah Klang.

Di Kuala Lumpur hari ini, Netaji Subash Chandra Bose Indian Culture Centre di Brickfields bakal memberi penghormatan kepada Krishnan yang merupakan ‘second lieutenant’ dalam ketenteraan India pada 1940-an.

Tribute kepada Krishnan bertepatan dengan ulang tahun ke-79 hari ini Azad Hind, kerajaan sementara India pimpinan Chandra Bose yang ditubuhkan di Singapura yang diduduki Jepun semasa Perang Dunia II.

Selepas mendalami teknik dengan mereka yang berasal dari India di Jalan Ampas, Singapura, karier Krishnan dan beberapa pengarah filem tempatan lain seperti KM Bashker terus mekar.

Krishnan terus menulis, menghasilkan dan mengarah lebih daripada 30 filem dengan tema yang meneroka idealisme awal Tanah Melayu. Dengan menggunakan kuasa transformatif filem, Krishnan membantu membina sentimen nasional yang menghubungkan rakyat dengan tujuan dan kebanggaan yang sama.

Dia mengambil peluang dan membawa naratif berani ke skrin untuk menekankan konsep bahawa idea, moral dan nilai kerohanian lebih layak daripada objek material.

Karyanya memberi inspirasi kepada ramai tokoh yang kini berada di zon kemasyhuran industri filem Malaysia sebagai pelakon, pengarah, penerbit dan penulis skrip.

Mereka termasuklah Tan Sri P. Ramlee, Rosnani Jamil, Kasma Booty, Maria Menado, Roomai Noor, Siput Sarawak, Mustapha Maarof, Abdullah Chik, M Amin, Nordin Ahmad, Wahid Satay, Hussein Hassan, Omar Rojik dan Mahmud Jun.

Filem pertama Krishnan pada tahun 1950, Bakti, yang diarah dan ditulisnya, menjadikan P. Ramlee sebagai selebriti dalam tempoh singkat.

Bagi Krishnan yang mengarahkan empat filem pertama P. Ramlee, pelakon versatil itu merupakan wira Melayu ideal yang dikurniakan kecemerlangan lakonan dan suara bariton yang masih kedengaran di radio Malaysia.

Ujar Krishnan, filem-filem P. Ramlee menyentuh jiwa negara dan semua orang menyukainya.

Daripada lagu-lagu, tarian dan filem romantik yang mengikuti kiasan 'will-they-won't they', Krishnan turut meninggalkan impak menerusi karya-karya seram.

Filem seperti Orang Lichin (1957), Orang Minyak (1958) dan Serangan Orang Minyak”(1959) membuka laluan untuk filem seram lain.

Sebagai peneraju industri, dia juga mendapat penghormatan daripada pembikin filem hebat India seperti MG Ramachandran, Sivaji Ganesan dan Raj Kapoor.

Kollywood dan Bollywood melihat Krishnan, pelopor dalam membawa kepakaran pawagam India ke industri perfileman Melayu, sebagai penggerak penting dalam hubungan budaya antara Malaysia dan India.

Selain itu, Krishnan juga merupakan seorang sifu dalam pengiklanan dan muzik Malaysia.

Selepas membentuk Gaya Filem Berhad pada 1970, dia meyakinkan kerajaan untuk mengharamkan iklan keluaran asing, membenarkan syarikat tempatan menerbitkan iklan mereka sendiri.

Pada tahun 1980, Krishnan menubuhkan Gaya Music Studio untuk membantu mengembangkan muzik tempatan. Dua tahun kemudian, dia melancarkan makmal warna filem pertama di negara ini, dan pada tahun 1984 dia dilantik sebagai pengerusi Cathay Organization Malaysia.

Beliau menerima pelbagai hadiah dan beberapa anugerah persekutuan dan negeri termasuk gelaran Tan Sri untuk usaha perintis dan inovatifnya semasa bersama Shaw Brothers dan Cathay Keris Studio di Singapura dan Merdeka Studio di Kuala Lumpur.

Sumber: FMT

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!