Anggota Sabyan Gambus, Ayus dan Nissa masih tersenyum dan tenang mendepani media selepas terkait kontroversi hubungan asmara yang terjalin antara mereka sehingga didakwa menjadi punca runtuhnya rumah tangga komposer tersebut dan isteri, Ririe Fairus.



Meski banyak memilih tersenyum dan diam, keduanya tetap menjawab persoalan media. Dengan hati-hati terhadap pemilihan perkataan yang dilontarkan, Ayus dan Nissa memberitahu mereka meneruskan kehidupan seperti biasa selepas ‘badai melanda’.

“Macam mana ya, yang penting kami terus berkarya, harus berjalan dan melanjutkan perjalanan kami,” ujar Ayus tenang.

Ayus dan Nissa ditemui media sewaktu majlis pelancaran Konsert Sabyan Live In Malaysia yang bertemakan Alunan Puitis Cinta Ilahi di Restoran Daigor HK M, Sungai Wang Plaza, Kuala Lumpur siang tadi.

Melanjutkan bicara, keduanya juga mengaku meski dunia sempat ‘terhenti’ kerana pandemik COVID 19 dan terpaksa melalui sepak terajang dunia hiburan, mereka tetap mendapat sokongan dan semangat bukan hanya dalam kalangan keluarga tetapi juga peminat.

“Sebenarnya kami mendapat banyak doa dan sokongan bukan dari keluarga, sahabat tetapi juga masyarakat,” jawab Nissa ringkas.

Malah jika ada yang menyangka Sabyan Gambus ‘hanya diam’ sepanjang pandemik dan tidak berani berdepan masyarakat, telahan tersebut silap kerana mereka tetap berkarya seperti biasa.

“Semasa pandemik kami banyak keluarkan materi. Alhamdulillah kita (Sabyan Gambus) masih berjalan sampai sekarang.

“Kami juga memanfaatkan semua platform media sosial yang ada dalam berkarya dari YouTube sehingga TikTok. Alhamdulillah sehingga kini peminat juga terus menyokong kami,” kata Ayus pula.

Dan sebagai lambang keghairahan bermuzik yang tidak pernah berhenti, Sabyan Gambus tidak sabar untuk bertemu dengan peminat lewat pada 26 Ogos 2023 akan diadakan di Melaka International Trade Center (MITC).

Menurut Ayus, sebagai bonus Sabyan Gambus akan mempersembahkan single terbaharu mereka buat pertama kali kepada penggemar menerusi konsert yang dianjurkan oleh Paksi Jayamas Sdn. Bhd dengan kerjasama dan sokongan penuh Kerajaan Negeri Melaka melalui rakan penganjur termasuk Kamya Glow, Playmad Sdn Bhd dan Lashkar Entertainment itu.

A post shared by Sabyan Gambus (@sabyankonsertmalaysia)


“Kami sangat ghairah untuk bertemu peminat dan mengadakan konsert di Melaka. Alunan Puitis Cinta Ilahi ini adalah persembahan pertama kami di negeri tersebut.

“Tidak sabar menanti 26 Ogos depan kerana kami akan bawakan banyak lagu termasuk mendendangkan single terbaharu Sabyan Gambus buat pertama kalinya kepada umum,” ujar Ayus.

Mereka juga berikrar untuk memberikan persembahan terbaik dalam Konsert Sabyan Live In Malaysia yang bertemakan Alunan Puitis Cinta Ilahi pada 20 Ogos 2023.