Hiburan
Persahabatan Rahsia Bunkface Bertahan Selama 10 Tahun
Kumpulan Bunkface mengakui persahabatan yang terjalin oleh mereka sejak lebih daripada 10 tahun lalu membuatkan kumpulan mereka masih lagi bertahan sehingga kini.
Vokalisnya, Sam atau Shamsul Annuar Mohd Baharom, 28, berkata, persahabatan yang sudah terjalin itu membuatkan mereka sudah mengenali sikap antara satu sama lain.
"Kami sudah berkawan hampir lebih daripada 10 tahun lagi jadi masing-masing telah mengenali sikap antara satu sama lain.
"Mungkin itu membuatkan kami dapat bertahan sehingga kini, jadi tipu la kalau tidak pernah bergaduh dan perkara itu yang membuatkan kami lebih matang ," katanya kepada Astro Gempak.
Bunkface ditemui pada sidang media konsert Bunkface X Live In Kuala Lumpur di Menara Kuala Lumpur di sini, Khamis.
Konsert anjuran Bunkface Production Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia itu bakal berlangsung selama dua jam bermula pukul 8 malam.
Sam berkata, pada konsert itu nanti mereka bakal menyampaikan 20 buah lagu termasuk lagu baharu.
Kumpulan Bunkface menyasarkan seramai lebih 5,000 peminat yang akan hadir pada konsert Bunkface X Live In Kuala Lumpur yang akan diadakan di Stadium Chin Woo pada 24 Disember depan.
"Sempena ulang tahun ke-10 Bunkface kami ingin melihat lebih ramai peminat hadir tambahan pula lokasi tersebut strategik dan berdekatan dengan stesen LRT,"
Sebagai buah tangan untuk peminat, Sam berkata, mereka akan melancarkan album kompilasi berjudul Bunkface X pada awal Disember depan sebagai tanda terima kasih kepada pengikut setia mereka.
Tiket Konsert Bunkface X Live In Kuala Lumpur boleh didapati di www.myticket.asia dan ia dijual pada harga bermula RM50.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Must-Watch Video