HIBURAN
Pertama Kali Catwalk KLFW2025, Bella Astillah Nervous - “Design Baju Saya Serah Sepenuhnya Kepada…”
Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah melakar satu lagi pencapaian dalam kerjaya seninya apabila melangkah penuh yakin di pentas peragaan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW2025) untuk jenama antarabangsa L’Oréal Paris, semalam.
Kemunculan Bella sebagai salah seorang wakil dalam kempen REDManifesto: Women of Worth nyata mencuri tumpuan, apatah lagi ini merupakan pengalaman pertama buatnya menyertai acara fesyen sebesar itu.
Mengulas keterlibatannya dalam acara fesyen berprestij itu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, berkata dia pada awalnya berasa sangat gementar kerana tidak berpengalaman dalam bidang peragaan.
“Saya rasa gementar. Sudah tentu, kerana ini bukan bidang saya.
“Tapi Alhamdulillah, saya dapat pengalaman ini dan ia sangat berharga,” katanya ketika ditemui pada acara pertunjukan fesyen L’Oréal Paris REDManifesto Runway di KLFW2025.
Menurut Bella, dia menerima pelawaan L’Oréal Paris kerana yakin dengan nilai dan mesej yang dibawa jenama tersebut, terutama dalam memperkasakan wanita.
“Acara ini lebih kepada woman empowering. Semua yang terlibat adalah wanita hebat dan luar biasa. Jadi, saya rasa… kenapa tidak?
“Saya anggap ini satu peluang yang baik untuk saya,” jelasnya.
Mengulas mengenai busana gaun merah menyala dengan lengan ‘puff’ dramatik yang digayakan, Bella menyerahkan sepenuhnya urusan gaya dan dandanan kepada pasukan profesional
“Baju saya direka khas oleh pereka fesyen, Daniel. Memang Bella serahkan semuanya pada mereka. Saya hormat kepakaran mereka dalam bidang masing-masing,” katanya.
Sementara itu, ketika diajukan soalan mengenai kontroversi yang membabitkan dirinya dan pelakon Sophia Albarakbah sewaktu majlis Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025), Bella bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut.
“Assalamualaikum, bye,” katanya sambil tersenyum dan terus berlalu.
Sebelum ini, Bella didakwa seolah-olah cuba mengelak daripada menyebut nama Sophia semasa menyampaikan anugerah, selain tindakannya yang terus beredar selepas tamat acara itu menimbulkan pelbagai spekulasi.
Untuk rekod, Bella dan bekas suaminya, Aliff Aziz, pernah melalui pergolakan rumah tangga yang dikaitkan dengan Sophia. Pasangan ini disahkan bercerai talak satu kali kedua pada 13 Jun 2024. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrian dan Ara Adreanna.
Untuk info, pertunjukan REDManifesto Runway tahun ini mempersembahkan 22 wanita berpengaruh, termasuk Bella Astillah dan Zahnita Wilson, dalam misi memperjuangkan nilai dan keaslian wanita moden.
Setiap figura tampil dengan busana serba merah sebagai simbol keberanian, kekuatan dan keyakinan diri. Ia bukan sekadar acara fesyen, tetapi satu pernyataan bahawa setiap wanita itu layak untuk dilihat, dihargai dan didengari.
Must-Watch Video