Menerima tawaran untuk bekerjasama dengan IHH Healthcare Malaysia (Pantai Hospital, Gleneagles Hospital dan Prince Court Hospital) merupakan impian buat cef selebriti Datuk Fazley Yaakob.

Teruja dengan kolaborasi tersebut, Fazley memberitahu dia mengambil masa selama setahun untuk membuat kajian sebelum menghasilkan menu-menu baharu untuk pesakit di hospital.

“Sebagai seorang cef, saya dah banyak berkolaborasi dengan jenama yang tidak disangka. Bila dapat bekerjasama dengan jenama hospital yang besar ni merupakan satu impian saya.

“Selama setahun juga saya membuat kajian dengan bertanya juga kepada pengguna laman sosial apakah makanan yang mereka teringin dan jemu untuk makan.

“Jadi saya senaraikan semua makanan yang mereka cadangkan dan pilih 10 daripada itu untuk menu baharu di hospital.

“Menu yang saya hasilkan itu mengikut kesesuaian pesakit umum,” katanya kepada Gempak.

Fazley yang juga seorang penyanyi ditemui ketika majlis pelancaran kolaborasi antara dia dan IHH Healthcare di Pantai Hospital, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, bekas peserta Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8) ini mahu memberi pengalaman baharu kepada setiap orang yang berada di hospital menerusi menu yang dihasilkan.

“Apa yang penting, setiap satu menu yang saya hasilkan itu sesuai untuk dimakan oleh sesiapa saja. Selain itu, pesakit juga tak akan rasa makanan itu seperti makanan orang sakit.

“Makanan itu juga boleh membuatkan mereka rasa nak sihat cepat. Saya nak beri pengalaman baharu kepada setiap orang yang berada di hospital.

“Sebab itu saya cipta tiga kelompok makanan berbeza bergantung kepada setiap jenama hospital,” ujarnya lagi.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.

Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!