Seramai 80,000 pesara, bekas dan petugas polis bakal menerima bayaran RM500 sekali bayar (one-off) yang dibuat secara berperingkat mulai Mac hingga November ini.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Polis Diraja Malaysia bersetuju dengan memberi bayaran berkenaan kepada mereka yang layak mengikut statut Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) termasuk mereka yang belum menerima pingat.

Beliau berkata kemas kini maklumat pesara dan bekas polis boleh dibuat melalui pautan http://[email protected]. dan pemohon perlu menyediakan dokumen sokongan (perlu disahkan) seperti yang disyaratkan dalam Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 7 Tahun 2018, antaranya salinan kad pengenalan awam.

"Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai akan membantu dalam memudahkan urusan kemas kini maklumat dan pengesahan dokumen bagi memudahkan pesara, bekas dan petugas polis di kontinjen dan daerah masing-masing.

"Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian hotline 03 - 22664011/4012/4013/4014/4015, manakala Bilik Gerakan e-Pesara PDRM beroperasi pada 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari bekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemberian sekali bayar sebanyak RM500 itu dibuat melalui Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis.

“Kerajaan bersetuju memberi inisiatif tersebut dalam ucapan Penggulungan Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada 26 November tahun lepas,” katanya.


Sumber: Bernama