Musnah segala perancangan ratu irama Malaysia, Noraniza Idris untuk meraikan lebaran pertama kali bersama cucu pertamanya selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani mengakui perasaannya seakan-akan memberontak enggan menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini memandangkan anak-anak dan cucu tidak dapat bersamanya.

"Memang sedih... rasa down sangat. Boleh kata, saya merajuk dan protes dalam diri sendiri. Tahun ini, tahun tak beraya bagi saya. Baju raya dah pun saya dah batalkan tempahan dan tak nak masak untuk raya.

"Sebelum PKP diumumkan, saya memang rancang nak berkumpul dengan anak-anak untuk beraya. Ikutkan, saya rancang nak tempah kondominium seminggu sebelum raya.

"Dah la, tahun ini kali pertama saya akan beraya dengan cucu perempuan. Macam-macam saya berangan nak masak untuk anak-anak. Bila tiba-tiba PKP ini, hancur harapan saya.

"Anak-anak pula tinggal di Kuala Lumpur, saya dan suami di Semenyih... memang lain daerah. Memang sangat sedih sebab pertama kali raya berdua sahaja dengan suami," katanya.

Kak Ani sebelum ini menzahirkan rasa teruja bergelar nenek apabila anak sulungnya, Aliff Haiqal menimang cahaya mata perempuan yang diberi nama Hannah pada 23 Mac lalu.

BACA: "Panggil Umi Tau, Tak Nak Nanny... Tua Sungguh Rasa" - Noraniza Idris Timang Cucu

Aliff adalah anak Noraniza daripada bekas suami Mohd Fauzi Mohd Tajuddin atau Fareez dan mereka mempunyai seorang lagi anak lelaki, Mohd Alfeeq Haiqal Mohd Fauzi, 28.

Untuk rekod, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei ini sehingga 7 Jun depan.

Oleh itu, larangan rentas daerah dan negeri dikuatkuasakan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Dalam perkembangan lain, Kak Ani baru muncul dengan rakaman semula lagu dan muzik video Cinta Lebaran nyanyian bersama penyanyi Ihab Ismail dan Azmir Ariff.

Selain itu, Kak Ani ini juga bakal mengeluarkan program Ria Aidilfitri yang memaparkan aktiviti kerja amalnya sepanjang Ramadan di saluran YouTube miliknya, Noraniza Idris TV pada Rabu dan Khamis.

"Nasib baik la sebelum PKP diumumkan, saya dah selesaikan rakam lagu raya dan program untuk Noraniza Idris TV. Untuk lagu raya kali ini, saya masih mengekalkan original muzik namun hanya tukar penyanyi duet sahaja.

"Kalau sebelum ini, saya duet dengan Akasia tapi kali ini Cinta Lebaran, saya duet dengan dua penyanyi lelaki. Seronok dapat bekerjasama dengan Ihab dan Azmir.

"Mereka banyak memberi idea dalam lagu tersebut. Manakala untuk MV pula, idea untuk konsep itu memang datang daripada saya. Alhamdulillah... semuanya selesai sebelum ramadan," tambahnya.