Laman Utama
"Panggil Umi Tau, Tak Nak Nanny... Tua Sungguh Rasa" - Noraniza Idris Timang Cucu Pertama
Penyanyi terkenal Noraniza Idris berkongsi rasa syukur apabila anak sulungnya, Mohd. Aliff Haiqal Mohd. Fauzi menimang cahaya mata pertamanya pada Selasa.
Kata Noraniza atau lebih popular dengan panggilan Kak Ani, kelahiran cucu pertamanya yang diberi nama Hannah itu merupakan hadiah terbesar dalam hidupnya.
"Syukur Alhamdulillah. Semua selamat. Ibu dan anak sihat. Hadiah terbesar dalam sejarah asas kehidupan manusia bila di'watikah' menjadi nanny hari ini.
"Tahniah Aliff BeeLeaf Active mama... terima kasih bawa Hannah untuk kami hari ini," tulisnya.
Lebih menarik, kelahiran cucu perempuan itu jatuh pada hari lahir yang sama dengan Aliff iaitu 23 Mac.
"Sempena hari lahir Aliff. Ada satu hadiah paling istimewa. Tak ternilai dengan wang ringgit. Hadiah kehadiran satu lagi nadi kehidupan yang sangat besar ertinya dalam hidup berumah tangga hari ini.
"InsyaAllah... semoga Allah melindungi kehadirannya ke dunia realistik. Hadiah ini istimewa untuk seluruh seisi keluarga. Buat pertama kali lahir seorang lagi keturunan Noraniza Idris dan Haji Idris.
"Semoga Aliff menjadi daddy yang terbaik buat Hannah dan keluarga... menjadi suami yang penuh dedikasi, menjadi anak lelaki pembimbing syurga mama," katanya.
Malah, Noraniza turut berkongsi ucapan dan pesanan kepada menantunya, Ezza Nafiesha.
"Terima kasih buat Aliff dan Ezza Nafiesha. Tahniah buat isteri yang sangat memahami anak mama. Hadiahkan sesuatu yang sangat besar dan paling bermakna buat kami membawa status nanny untuk mama buat pertama kalinya.
"Semoga baby Hannah terus menjadi anak yang sihat dan solehah. Menjadi mommy yang sangat bijak membahagikan masa antara karier dengan keluarga. Penting sekali jaga hati Aliff bila ada Hannah.
"Jangan cemburu jika Aliff beri perhatian pada Hannah tau... tak sabar nak tengok wajah cucu pertama Umi. Panggil Umi tau, tak nak nanny la... tua sungguh rasanya," ujarnya.
Mohd. Aliff Haiqal berkahwin dengan Ezza Nafiesha Zakaria pada 22 Disember 2018 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Aliff merupakan anak Noraniza bersama bekas suami Mohd Fauzi Mohd Tajuddin atau Fareez dan mereka mempunyai seorang lagi anak lelaki, Mohd Alfeeq Haiqal Mohd Fauzi, 28.
Must-Watch Video