Laman Utama
PKP Dilanjutkan Atau Tidak? Pengumuman Mengenainya Dijangka Hari Ini
Keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berkuat kuasa di beberapa negeri bakal disambung atau tidak, dijangka diumumkan hari ini, kata Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam.
Memetik laporan AWANI, ia akan diputuskan selepas dibincangkan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada petang Isnin.
Beliau berkata, ia bergantung kepada pembentangan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
"Saya pasti pasukan KKM dan Ketua Pengarah Kesihatan akan membentangkan penilaian risiko pada mesyuarat itu, kami akan bincangkan dan menilainya sebelum membuat keputusan.
"Keputusan untuk melanjutkan PKP itu juga berdasarkan kepada pengalaman dan data diperoleh sejak setahun lalu.
"Sebagai kerajaan yang telus dan bertanggungjawab, penjelasan akan diberikan kepada rakyat bagi setiap keputusan yang dibuat," katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, pada Isnin.
Ujar Azmin Ali, keputusan sama ada PKP dilanjutkan atau tamat di beberapa negeri terlibat perlu diteliti berdasarkan bukti data dan sains.
Beliau turut memaklumkan, data yang terkumpul akan dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Alhamdulillah dengan sokongan rakyat dan banyak pihak memberikan pandangan, kita membuat keputusan yang baik setakat ini dan kita akan terus berbuat demikian, Insya-Allah akan diumumkan esok (hari ini)," katanya.
Sumber & Kredit Foto : Astro AWANI
Must-Watch Video