Berita
PKPP Bermula, Ini 5 Nasihat Dr Psikiatri untuk Kekal Elak Gangguan Kesihatan Mental... Ayuh We Can Do It!
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir hari ini, Rabu 10 Jun 2020, sekaligus tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula.
Namun, sepanjang melalui empat fasa PKP sebelumnya, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan telah menerima lebih 9,000 panggilan melalui talian bantuan psikososial berkaitan kes kesihatan mental akibat penularan pandemik Covid-19.
Gempak yang berbicara dengan Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia, Doktor Firdaus Abdul Gani mengakui terdapat peningkatan kes berkaitan gangguan kesihatan mental sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
Rutin harian yang berubah, pengasingan sosial, masalah kewangan dan keresahan memikirkan masa depan setelah berakhirnya Covid 19 kelak antara faktor yang mungkin menyumbang kepada berlakunya gangguan kesihatan mental.
Doktor Firdaus
Malah saat ditanya adakah masalah ini akan berkurangan setelah PKPP dilaksanakan bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020 mendatang, Dr. Firdaus mengatakan ekspektasi itu tidak boleh dirumuskan sehingga kajian menyeluruh dijalankan.
"Untuk mengatakan gangguan kesihatan mental akan menjadi berkurangan sepanjang PKPP ini kita tidak tahu secara pasti sehingga satu kajian menyeluruh dijalankan.
"Mungkin akan lebih tenang atau menjadi berlarutan. Hal ini kerana, WHO menjangkakan, setelah berakhirnya Covid 19, akan berlaku pula pandemik kesihatan mental," ujar Dr Firdaus.
Bagaimanapun menurutnya, rutin kehidupan yang berubah ini boleh menjadi positif sepanjang PKPP dilaksanakan sekiranya masyarakat kekal dengan beberapa prinsip ini.
1. Gaya Hidup Sihat
Gaya hidup sihat merangkumi makan secara teratur dan seimbang, lakukan aktiviti fizikal seperti bersenam serta tidur secukupnya perlulah diterus atau dikekalkan sepanjang PKPP.
2. Hobi
Sangat penting untuk melakukan perkara yang kita suka seperti hobi. Jika sebelum pandemik berlaku mungkin kita tidak mempunyai banyak waktu terluang, namun sepanjang fasa PKP sudah banyak yang menemukan hobi baharu seperti bercucuk tanam dan sebagainya,
Jadi penting untuk meneruskan hobi yang telah dilakukan sepanjang PKPP ini supaya kita rasa gembira dan mempunyai waktu untuk diri sendiri.
3. Pertemuan Dengan Keluarga
PKPP akan memberi ruang dan kelonggaran untuk kita bertemu secara langsung dengan keluarga atau rakan rakan. Walaupun harus menjaga jarak, namun bertemu keluarga atau rakan terdekat juga dapat membantu menggelakkan gangguan kesihatan mental.
Hal ini kerana bertemu orang sebenarnya akan memberi kita rasa positif dan bahawa kita rasa tidak hidup berkeseorangan.
4. Berfikiran Positif
Walaupun rutin kehidupan kita sudah banyak berubah, namun kekal berfikiran positif adalah penting . Untuk yang telah mengalami gangguan anxiety atau keresahan misalnya, elakkan membaca terlalu banyak informasi yang adakalanya tidak sahih sehingga meningkatkan kesan keresahan .
Dapatkan maklumat yang betul dan berbalik kepada gaya hidup sihat yang telah diamalkan sebelumnya untuk kekal positif.
5. Hadiah Untuk Diri Sendiri
Apabila PKPP mula dilaksanakan dengan kerajaan mengumumkan banyak kelonggaran, maka berikan penghargaan atau "reward" sesuatu untuk diri sendiri. Ini kerana keupayaan menjalani fasa PKP sebelum ini merupakan sebuah kejayaan.
Pergi bercuti untuk bukan sahaja penting untuk relaksasi minda, malah ia merupakan motivasi yang mampu menjadikan kita lebih positif .Ia juga membolehkan kita menyedari bahawa ada benda yang menggembirakan untuk kita lakukan di masa depan sekaligus menjadikan penguat semangat.
Kredit Foto: Astro Awani, Pikiran Rakyat, Doktor Firdaus, Salam Today, Nona, PositivePsyclogy.com, Planetware, Positivethinking
Instagram: @pokok.gembira
Must-Watch Video