Soalan

Hi Kak Gee, saya tak berhasrat untuk menulis panjang. Tapi saya tak boleh menahan diri daripada terus bersubahat dan merelakan apa yang terjadi di depan mata.

Secara ringkas saya nak kata, hubungan ibu dengan ayah sudah lama renggang. Sejak saya kecil sehingga kini sudah bersuami, hubungan mereka agak dingin.

Dan sejak kecil sampai sekarang, ibu sering bertukar kekasih. Sudah macam bersuami dua. Ayah bukan tak tahu tapi dia pun tak ambil apa apa tindakan termasuk bercerai.

Oleh kerana ayah tak ambil tindakan dan ibu kata ayah sudah mati pucuk, jadi siapa yang akan menjadi partnernya? Jadi dia selalu bawa balik kekasih dan Kak Gee pun faham lah kalau sudah sampai tidur sebilik apa yang berlaku.

Kadang kadang saya benci dan malu dengan ibu dan bapa saya kerana menunjukkan teladan yang tak baik kepada saya dan adik adik.

Yang Benar,
Benci Ibubapa


Jawapan

Hi adik. Takut bila Kak Gee membaca 'yang benar, benci ibubapa'. Bunyinya sangat kronik perasaan yang tak terbendung lagi dalam diri anda. Tapi terima kasih kerana sudi berkongsi dengan Kak Gee.

Untuk situasi ini, apabila anda katakan sudah tidak mahu lagi bersubahat dan sudah cukup matang apabila anda pun mempunyai suami dan keluarga, maka Kak Gee rasa tak salah untuk terus menasihati dan melarang perbuatan terkutuk ibu dan kekasihnya.

Nasihatkan juga ayah kerana walau apapun terjadi, dia tak sepatutnya 'menghalalkan' perbuatan ibu hanya kerana ada penyakit mati pucuk dan menjadi dayus kerana tidak menceraikan ibu kamu.

Jika usaha ini tidak berjaya, Kak Gee rasa sudah tiba masanya juga anda rujuk kepada pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam. Mungkin dengan cara seperti ini boleh menghentikan kemungkaran yang dilakukan.

Ia juga mungkin mampu menyedarkan mereka bahawa apa yang dilakukan selama ini sesungguhnya dimurkai Allah SWT.

Ingat, walaupun sebagai anak, anda tetap berhak menasihati dan menyayangi ibu bapa dalam apa juga keadaan.

Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!