Semalam, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa 41 pesakit dan 86 waris mereka, selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor kira-kira pukul 2 petang.
Kesemua pesakit dibawa ke hospital medan yang didirikan di hangar pangkalan udara berkenaan bagi saringan kesihatan.
Berhubung kritikan mengenai langkah kerajaan menggunakan pesawat TUDM dalam operasi itu dan bukannya penerbangan komersial, Perdana Menteri berkata ia dibuat atas faktor risiko keselamatan terutamanya membabitkan kawasan di sempadan Mesir.
Anwar berkata kebenaran untuk membawa rakyat Palestin itu juga antara lain disebabkan hubungan erat Malaysia dan Mesir, serta beberapa negara Timur Tengah yang lain.
“Saya telefon Presiden Mesir minta kerjasama kerana tak mungkin kita dapat bawa mereka ke sini jika tiada kerjasama dengan Mesir. Ini baiknya kerana kita ada hubungan baik dengan Qatar, Mesir, Arab Saudi, UAE (Emiriah Arab Bersatu), Iran, itu yang membolehkan kita laksanakan operasi ini,” kata beliau.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana dengan sedikit kemampuan dikurniakan kepada negara ini, selain nikmat keamanan, Malaysia mampu membantu rakyat Palestin yang menerima seksaan dan malapetaka kerana kezaliman Zionis.
“Ini tanggungjawab kecil yang kita laksanakan, yang upaya kita lakukan, kalau tanya saya syukurlah kepada Allah SWT kerana kita ada perasaan ihsan, timbang rasa dan tolong ringankan beban. Berapalah sangat 40, 50 orang ini berbanding 40,000 orang yang ditembak ganas oleh Israel,” kata Anwar.
Sumber: Bernama