VIRAL
Polis Tahan Lelaki ‘Jogging’ Dalam Keadaan Bogel Di Shah Alam, Didakwa Ada Masalah Mental
Tular sebuah video memperlihatkan seorang pemuda dipercayai warga tempatan ‘berjoging’ dalam keadaan bogel pada pagi Selasa di sekitar Shah Alam berdekatan Seksyen 8.
Video tersebut dirakam oleh pemandu kereta yang melalui jalan tersebut.
Menerusi laporan Utusan Malaysia, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun selepas dikesan berlari tanpa pakaian di simpang tiga Persiaran Kayangan, Seksyen 8.
Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata remaja itu ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi oleh anggota ronda cegah jenayah sebelum dibawa ke Balai Polis Seksyen 6.
Bagaimanapun siasatan polis mendapati remaja berusia 18 tahun itu mengalami masalah mental dan diserahkan semula kepada keluarganya.
“Setelah dipujuk dan ditenangkan, lelaki berkenaan dibawa balik ke balai dan diberikan pakaian oleh anggota bertugas.
“Remaja ini didapati hanya boleh berinteraksi menggunakan isyarat tangan dan menulis nombor telefon orang yang boleh dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan.
Iqbal berkata bapa saudara remaja itu hadir ke balai dan memaklumkan lelaki berkenaan tinggal bersamanya di Seksyen 9.
Beliau berkata lelaki itu turut memaklumkan anak saudaranya mengalami masalah gangguan mental dan pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Remaja berkenaan diserahkan kepada bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam,” katanya.
Sumber - Says, Utusan Malaysia & Fressmalaysiatoday
Must-Watch Video