Kelazimannya, proses rakaman sesebuah lagu oleh seseorang penyanyi itu akan dijalankan di dalam studio.

Namun, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), segala aktiviti dan kegiatan seni di luar tidak boleh dilakukan kerana kita semua diminta untuk terus kekal berada di dalam rumah.

Biarpun begitu, ia sedikit pun tidak menjadi kekangan buat 26 selebriti yang cukup komited dalam menjayakan penghasilan lagu tribute berjudul Sentiasa Di Sini.

BACA: Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Noh Hujan Antara 26 Artis Berpadu Suara Jayakan Lagu 'Sentiasa Di Sini', Memang Gempak!

Menariknya, penghasilan lagu tersebut dirakam sendiri oleh kesemua artis yang terlibat dengan menggunakan apa sahaja peralatan yang mereka ada di rumah.

Bahkan, ada yang merakam audio dan visual lagu tersebut hanya menggunakan telefon pintar sahaja! Memang rare!

Selaku komposer lagu tersebut, AG Coco kemudian bertindak menggabungkan kesemua suara menjadi sebuah naskhah yang cukup indah.

Diterbitkan oleh Astro Gempak, muzik video lagu itu juga sudah boleh ditonton dan didengari di semua saluran TV, Radio dan digital Astro.

Lagu tribute itu juga sudah membuat tayangan perdananya di saluran Astro Stay Home Concert (Saluran 700) yang mula bersiaran pada 14 hingga 28 April selain boleh dilayari menerusi Astro GO.

Jadi apa kata, kita layan muzik video lagu ciptaan Noh Salleh dan AG Coco itu khas buat semua rakyat Malaysia yang terus cekal berdepan dengan segala cabaran ketika negara dilanda wabak Covid-19.




Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!