Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam akan ditutup selama satu hari pada Selasa, 13 Julai 2021.

Ia dimaklumkan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam sebuah kenyataan rasmi ekoran kes positif COVID-19 dalam kalangan petugas di PPV berkenaan.

Menurut CITF, keputusan itu dibuat berdasarkan keputusan ujian COVID-19 malam tadi dan kerja-kerja sanitasi akan dijalankan.

"Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) ingin memaklumkan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam akan ditutup selama satu hari pada 13 Julai 2021 susulan kes positif COVID-19 yang dikenal pasti dalam kalangan petugas di PPV tersebut.

"Langkah segera penutupan ini diambil hasil daripada keputusan ujian COVID-19 yang diperoleh malam tadi bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan," kata kenyataan terbabit.



Sebagai langkah berjaga-jaga, CITF juga menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi di antara 29 Jun hingga 12 Julai 2021 untuk membuat penilaian kendiri dan menjalankan ujian saringan COVID-19 sekiranya bergejala.

Janji temu yang diberi pada hari ini juga akan dijadualkan semula kepada satu tarikh baru yang akan dimaklumkan secepat mungkin.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 03-889 34303.

Foto: AWANI