Watch
Proton Satria Evo III untuk diuji di litar drag.
Lumba Drag adalah satu cabang sukan permotoran yang disertai oleh jentera berkuasa tinggi yang sudah dinaik taraf pada tahap maksimum.
Acara itu lebih dikatakan releven di hati penggemar jentera berprestasi kerana mudah untuk diaplikasikan terhadap jentera jalanan masing-masing.
Cukup berbeza dengan cabang sukan permotoran yang lain, sukan lumba drag dilihat lebih popular kerana menguji kepakaran mekanik menaik taraf jentera, selain kemahiran dalam menala enjin dan faktor yang paling utama adalah kos pelaburannya.
Dalam paparan kali ini, jentera drag Proton Satria yang anda lihat sudah pun menjalani proses naik taraf secara menyeluruh dengan sentuhan daripada ESR Garage.
Jentera ini tidak menggunakan enjin asal, tetapi dipadankan rangkaian kuasa berkod 4G63T yang diambil dari Mitsubishi Lancer Evolution III.
Bagi membuatkan ia lebih berkuasa dan laju secara maksimum, enjinnya tidak dibiarkan dalam keadaan yang asal dan diubah suai secara ekstrem.
Komponen dalaman yang utama sudah diganti kepada barangan yang lebih kukuh dan tahan lasak seperti menggunakan omboh berukuran 86mm dengan kapasiti 10.1:1cr serta diikat pada batang rod ciptaan Manley. Blok enjin dan kepala silinder pula dicantumkan dengan menyelitkan gasket jenama Toda.
Bahagian kepala silinder itu turut mendapat sentuhan pakar dari Nasty Port Flow yang bertanggungjawab memastikan aliran di ruangan terbabit lebih lancar.
Aci sesondol asal diganti kepada yang berdurasi lebih tinggi dari jenama BC beserta komponen sokongannya yang lebih padu termasuklah valve spring retainer, valve serta valve guide.
Tugas ambilan udara ‘intake manifold’ diserahkan kepada barang buatan Magnus lengkap dengan pendikit badan berukuran 90mm.
Aliran bahan api pula menerima khidmat pam minyak jenama Bosch 044 dan kemudiannya distabilkan oleh fuel regulator jenama Works Engineering sebelum disuntik ke kebuk pembakaran enjin menerusi 4 unit injektor jenama ID berkapasiti 2,000cc.
Pembakaran dalam kebuk yang menghasilkan gas disalur keluar menerusi sistem ekzos rekaan ADM.
Kuasa terhasil dari gabungan komponen berprestasi seperti yang dikatakan tadi menerima sokongan dari kotak transmisi asal, tetapi dibantu sistem klac plat berkembar Quater master.
Projek naik taraf itu diselaraskan menggunakan kotak komputer perlumbaan dari jenis Link G4+ dan ditala oleh Dinn Dynamic Tuning.
Dalam usaha menghasilkan catatan masa terbaik, cengkaman tayar diberi tugas kepada komponen jenama Hoosier yang membaluti rim Weld bersaiz 15 inci di hadapan. Belakang pula menggunakan rim TE37 dimensi 15 inci dengan dibaluti tayar M&H.
Sistem suspensinya diperkuatkan dengan komponen Tien di bahagian hadapan dan belakang.
Jika dilihat pada bahagian luarannya, dapra luaran dilebarkan sedikit bagi menutup tayar Hoosier serta dipadankan dengan bonet Evo III. Lebih menariknya, ia dicat warna hijau yang akan kelihatan menyerlah jika di litar lumba drag.
Must-Watch Video