Laman Utama

PRU, Datuk Ramli MS Antara Punca Konsert Malai Solo Noraniza Idris Ditangguhkan?

gempak
Amri Hassan
28/09/2022
01:25 MYT
Sponsor Banner
PRU, Datuk Ramli MS Antara Punca Konsert Malai Solo Noraniza Idris Ditangguhkan?
Ratu irama Malaysia, Noraniza Idris difahamkan terpaksa menunda Konsert Malai Solo yang dijadualkan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 21 hingga 23 Oktober hadapan.
Penundaan itu dipercayai disebabkan oleh beberapa faktor antaranya pilihan raya umum dan ketiadaan pengarah muzik yang sepatutnya digalas oleh Datuk Ramli MS.
"Produksi ini terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain atas beberapa faktor tidak dapat dielakkan dalam persediaan program Konsert Malai Solo. Antaranya, pilihan raya umum kemungkinan besar akan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan.
"Jadi, perkara itu menyukarkan penyusunan atur cara konsert dari aspek jemputan tetamu, termasuk menteri dan wakil kementerian yang menjadi salah satu tonggak kepada penganjuran konsert.
"Ketiadaan pengarah muzik, Datuk Ramli MS yang terbabit dalam penjurian program televisyen, Gegar Vanganza (GV) ke-9 juga menjadi faktor utama. Difahamkan, Astro tidak membenarkan Ramli terbabit dengan produksi luar ketika berada dalam kontrak," maklumnya.
Khabar itu tersebar menerusi satu siaran surat rasmi yang ditulis oleh Pengurus Projek Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd milik penyanyi itu sendiri baru-baru ini.
Dalam pada itu, Noraniza juga berdepan faktor kesihatan dan kesuntukan masa latihan sehingga memaksa mereka membuat keputusan sukar itu.
"Noraniza gagal mengurangkan beberapa komitmen aktiviti seni, termasuk penganjuran acara Akar Karya Zapin hingga menjejaskan kesihatan, sekali gus mengganggu jadual latihan yang ditetapkan lebih awal.
"Komitmen tetap perlu dilaksanakan kerana tidak dapat dielakkan, meskipun sudah dipersetujui pada awal. Atas beberapa faktor membabitkan kontinjen peserta zapin dari luar negara menyebabkan Noraniza terpaksa meneruskannya.
"Jadi, selepas mendapat nasihat beberapa pihak serta mempertimbangkan semua aspek penganjuran, produksi membuat keputusan menangguhkan Konsert Malai Solo buat sementara waktu sehingga tarikh baharu yang akan diumumkan kelak," katanya.
Terdahulu, Konsert Malai Solo yang sepatutnya menjadi konsert pertama dan terakhir pelantun lagu Dikir Puteri itu menjadi bualan ramai ekoran isu harga tiket yang didakwa terlampau mahal.
Tiket konsert berkenaan dijual bermula harga RM299 hingga RM1,599.
Untuk info, Konsert Malai Solo yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober itu bakal menggunakan khidmat 300 penari dan tenaga mahir dalam teknologi persembahan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live