Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan beliau sudah membuat pengisytiharan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM1.36 juta.

Tindakan itu merupakan sebahagian daripada syarat yang ditetapkan parti berkenaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Wang tunai atau simpanan yang dimiliki Calon Parlimen Bandar Tun Razak itu merupakan yang terbanyak di empat bank iaitu di Bank Islam Malaysia Berhad – pemilikan sendiri berjumlah RM525,608.53.

Manakala di Standard Chatered Bank Malaysia Berhad, beliau mempunyai pemilikan bersama (RM340,177.83); Maybank Malaysia Berhad- pemilikan bersama (RM65,161.95) dan Tabung Haji (RM70,000).

Bukan itu sahaja, bekas Timbalan Perdana Menteri era Pakatan Harapan (PH) itu juga memiliki empat kenderaan termasuk Perodua Myvi yang dibeli pada 2017 dengan nilai pasaran semasa RM29,300.

Manakala tiga lagi kenderaan antaranya Perodua Myvi yang dibeli pada 2018 yang berharga RM37,100, Toyota Velfire dibeli pada 2020 (RM288,000) dan sebuah motosikal Yamaha Lagenda dibeli pada 2021 (RM5,350).

Penyandang kerusi Parlimen Pandan itu juga mempunyai pendapatan sebagai wakil rakyat berjumlah RM16,351.54.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula mengisytiharkan hartanya dengan aset bersih berjumlah RM808,761.

Berdasarkan dokumen tersebut, setakat 30 September lalu beliau memiliki simpanan berjumlah RM105,000 iaitu wang tunai di bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Tabung Haji.

Nurul Izzah juga mempunyai dua jenis pelaburan bernilai RM400,000 dan satu hartanah yang bernilai RM1.06 juta.

Seterusnya, penyandang dan calon bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh itu turut memiliki sebuah Proton X70 bernilai RM94,000, karya seni dan barang kemas masing-masing bernilai RM5,000.

Hutang beliau pula berjumlah RM860,239 iaitu rumah dan kereta.

Sumber: KOSMO ONLINE