Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila sebuah video Tiktok yang mempamerkan keadaan air laut di sekitar Pulau Langkawi, Kedah yang dicemari dengan sampah-sarah.

Menerusi video berdurasi 39 saat yang dirakam pada 17 September 2021 itu, kawasan yang dimaksudkan adalah berdekataan dengan penempatan Bukit Malut, Jeti Kuah dan juga dua buah hotel antarabangsa.

Tidak hanya mencemarkan ekosistem semulajadi, malah lambakan sampah di atas permukaan air laut juga menyebabkan pemandangan persekitaran menjadi buruk, dan menjejaskan aktiviti pelancongan yang baru sahaja di buka di sana minggu lalu.

“Sedih mat, tengok dekat Langkawi. Harap YB Menteri atasan dapat selesaikan masalah ini, sebelum hilang keindahan pulau legenda. Mohon kongsi,” tulis pemilik akaun @amin_hafiszat.

Meninjau ruangan balas, kebanyakan daripada pengguna Twitter menuding jadi terhadap penempatan haram kaum Rohingya yang terletak di Bukit Malut.

Menurut salah seorang pengguna laman sosial, keadaan perkampungan tersebut agak kotor dan tidak munasabah jika sampah-sampah berkenaan berpunca daripada pelancong yang baru tiba di Langkawi baru-baru ini.



“Kalau datang bercuti takkan sampah boleh banyak macam ni, tapi memang perkampungan Bukit Malut tu hmm kotor... dengan kes COVID-19 mencanak naik di Langkawi sebab mereka juga tempoh hari. Tapi sampah banyak ni dah lama rasanya sebab geng pelancong Langkawi baru dapat masuk tak sampai sehari,” katanya.



“Aku sebagai anak Langkawi ingin menegaskan, ini bukan sampah hasil pelancongan gelembung perjalanan mahupun lokal. Ini semua sampah sarap hasil dari penempatan geng Bukit Malut!,” ujar salah seorang netizen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi dan juga bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad turut memberi respon terhadap ciapan yang tular berkenaan.



“Terima kasih Encik @amin_hafiszat. Saya sudah hubungi pihak majlis untuk tangani isu ini segera. Langkawi pulau pelancongan. Saya rayu semua agar lebih tanggungjawab. jangan buang sampah merata. Sama-samalah kita jaga Langkawi, permata Kedah,” ujar beliau.

Untuk rekod, Pulau Langkawi kini dibuka kepada pelancong sejak 16 September lalu dan individu yang ingin ke pulau peranginan tersebut perlu melalui beberapa syarat yang telah ditentukan oleh kerajaan.