Hiburan
Putera Harry & Meghan Markle Bakal Jana Pendapatan Sendiri, Tidak Mahu Guna Duit Rakyat
Pasangan diraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle, dilaporkan bakal menjana pendapatan dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membiayai kos keselamatan mereka sebaik sahaja keputusan untuk keluar daripada barisan keluarga diraja British dimuktamadkan.
Memetik laporan Astro Awani, Putera Harry, 35 tahun, dan Meghan, 38 tahun, tidak mahu mengharapkan dompet orang awam untuk terus membiayai kehidupan mereka setelah mereka berundur dari keluarga diraja itu.
Kedua-dua mereka mengakui sedar akan keputusan mereka dan tidak akan menerima sebarang pendapatan dari Geran Kedaulatan (Sovereign Grant), iaitu wang yang diperoleh Ratu Elizabeth menerusi pembayaran cukai rakyat setiap tahun.
“Pasangan itu akan menandatangani perjanjian keselamatan mereka menggunakan wang mereka sendiri.
“Kos keselamatan Putera Harry dan Meghan yang dijaga oleh Perintah Diraja dan Perlindungan Scotland Yard dianggarkan bernilai RM2.71 juta (£600,000),” kata sumber kepada The Sun.
Dalam satu kenyataan, pasangan itu menegaskan keputusan itu diambil sebagai usaha untuk bebas dari segi kewangan dari monarki Britain.
“Kami putuskan untuk membuat perubahan tahun ini untuk membentuk peranan baru yang lebih progresif dalam institusi tersebut.
"Namun, kami masih memberi sokongan kepada Ratu Elizabeth II," menurut kenyataan itu lagi.
Pasangan itu juga dijangka bakal menjana sumber kewangan mereka sendiri menerusi aktiviti komersial dan kerja-kerja amal.
Awal minggu lalu, berita mengenai pasangan itu berhasrat untuk meninggalkan keluarga diraja itu mengejutkan ramai pihak seluruh dunia terutamanya rakyat Britain.
Perancangan untuk melepaskan jawatan sebagai Duke dan Duchess of Sussex itu diumumkan secara rasmi menerusi laman web diraja, Sussex Royal.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video