Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Raih Pelbagai Anugerah, Filem Sumpahan Jerunei Terus Dipromosikan Di Pasaran Antarabangsa Hingga Tahun Depan

Izwan Isa
14/11/2023 11:55 MYT
Berjaya meraih pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa sebelum ini menerusi filem Sumpahan Jerunei, syarikat penerbitan Produksi Seni 2020 Sdn Bhd sekali lagi mampu tersenyum bangga apabila dinamakan sebagai salah satu penerima anugerah pada acara Greatest Award Night 2023 bagi kategori seni kebudayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAD Branding Group, Datuk Ben Tan berkata, pihak mereka memilih Produksi Seni 2020 kerana melihatkan produk yang dihasilkan iaitu filem Sumpahan Jerunei begitu cemerlang di luar negara.

BERITA TRENDING: Sumpahan Jerunei Bolot 6 Trofi Di Festival Filem Florence & Paris Film Awards!

“Mengambil kira pencapaian hebat filem Sumpahan Jerunei di peringkat antarabangsa, ternyata mereka layak untuk menerima trofi Penerbit Paling Menyerlah bagi kategori seni budaya.

“Selepas menonton karya ini, kami berpendapat yang Sumpahan Jerunei merupakan sebuah filem yang bagus sesuai diangkat sebagai salah satu penerima trofi pada malam ini,” katanya kepada Gempak usai acara berkenaan minggu lalu.

Datuk Nancie Foo dan Datin Wendy Wong selaku pemilik rumah produksi Produksi Seni 2020 pula berkata, mereka berasa terharu dengan pengiktirafan pertama di Malaysia selepas menerima beberapa anugerah di peringkat global sebelum ini.

BERITA TRENDING: Diserang Anxiety, Badan Lebam-Lebam, Telinga Kena Infection, Daiyan Trisha ‘Berkorban’ Demi Lakonan Dalam FIlem

“Tentulah kami berasa sangat gembira dan dihargai… selepas menang pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa, kami dapat pengiktirafan lokal pula.

“Kami berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada penganjur kerana menilai filem kami sekali gus melayakkan kami menerima trofi pada malam ini,” kata Wendy.

Menurut Nancie dan Wendy, filem Sumpahan Jerunei yang dilakonkan oleh Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Ruminah Sidek dan Yuyun Hikmah itu telah berjaya meraih 15 anugerah.

Tonggak utama, Uqasha menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik di New York Cinematography Awards dan European Cinematography Awards, dan Tony pula bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di New York Cinematography Award.

BERITA TRENDING: "Kena Ikat Dalam Air, Mandi Air Sungai Tempat Buangan Najis" - Uqasha Senrose Kongsi Cabaran Berlakon Sumpahan Jerunei

Sementara itu, Daiyan menerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di European Cinematography Awards.

Anugerah lain yang diraih termasuklah Paris Film Awards, Florence Film Awards, Paris Arts & Movie Awards serta Toronto Independent Film Festival.

Menurut Nancie Foo, mereka sebagai produser tetap perlu mengeluarkan bajet sendiri untuk menyertai pasaran dan festival filem luar negara sungguhpun memperoleh dana daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Kita perlu keluarkan bajet tinggi jika kita mahu sertai festival luar negara sebab kita perlu mengupah ejen untuk memasarkan filem kami.

“Buat masa ini, Sumpahan Jerunei masih belum terjual, tetapi kami tetap akan berusaha sepanjang tahun depan sehingga bulan Julai untuk mempromosikan filem ini di luar negara,” katanya sambil memberitahun filem Sumpahan Jerunei baru selesai ditayangkan di American Film Market baru-baru ini.

BERITA TRENDING: Sumpahan Jerunei Telan Belanja RM5 Juta, Angkat Kisah Sejarah & Adat Kaum Melanau!

Melihat pada kejayaan yang diraih, mereka bagaimanapun masih belum meletakkan sebarang keputusan untuk menghasilkan sambungan filem Sumpahan Jerunei.

“Setakat ini kami belum putuskan lagi, sebab kami mungkin akan fokus pada tiga projek baharu. Tentang pemilihan pelakon pula, kami mungkin akan kekalkan pelakon yang sama bagi ketiga-tiga projek akan datang.

“Hal ini supaya, bila kami mengadakan promosikan di luar negara, kami tak perlu lagi bersusah payah kenalkan diri kerana mereka sudah kenal pelakon dan produksi kami. Kalau ambil pelakon lain takut ada yang lupa pula,” tutup Nancie.

Diarahkan oleh Jason Chong, Sumpahan Jerunei yang ditukar judulnya sebagai Curse of the Totem untuk pasaran antarabangsa ditayangkan di pawagam tempatan pada Julai lalu.

#Sumpahan Jerunei
;