Kali terakhir, syarikat Produksi Seni 2020 milik dua sahabat, Datuk Nancie Foo dan Datin Wendy Wong menerbitkan filem menerusi Red Haired Tumbler Di Malaya pada 1994.

Karya arahan Eddie Pak itu pernah menerima Anugerah Khas Juri, Festival Filem Malaysia Ke-12 pada 1995, selain menembusi pencalonan New York Asian Film Festival.

Selepas 29 tahun, Nancie dan Wendy tampil dengan filem genre seram, Sumpahan Jerunei yang mengangkat sejarah, adat dan budaya kaum Melanau di Sarawak yang kekal misteri kepada masyarakat luar, sekali gus ‘comeback’ dalam bidang perfileman.

Tak malu bawa ke luar negara!

Wendy berkata, dia dan Nancie mahu menghasilkan filem berkualiti dan tidak malu untuk dibawa ke peringkat antarabangsa sebelum bersara dari industri perfileman.

“Kami sudah lama berkecimpung dalam industri seni sejak drama bersiri, Kisah Benar mencetuskan fenomena pada 1993.

“Jadi, kami sedar untuk menghasilkan filem berkualiti akan membabitkan bajet besar, apatah lagi karya yang boleh dibawa ke pasaran antarabangsa, tetapi kami sanggup mengambil risiko.

“Ini kerana kami mahu menghasilkan karya yang dapat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi tarikan pelancong asing.

“Kami bersyukur atas bantuan dan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak. Tanpa sokongan mereka, kami tidak mampu menghasilkan filem bermutu dan berkualiti.

“Malah, kami mengambil tempoh selama enam tahun untuk menyiapkan filem sepenuhnya dan harap, orang kita akan menghargai karya tempatan,” katanya.


Ritual kaum Melanau

Selaku pencetus idea asal filem, kata Wendy, pada mulanya, mereka merancang untuk menerbitkan dokumentari yang boleh membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Kami berbincang dengan penulis skrip mencari cerita sesuai untuk dibuat dokumentari sehinggalah ke Sabah dan Sarawak.

“Dalam proses pencarian, kami dapat tahu mengenai sejarah dan adat budaya ritual kaum Melanau pada abad ke-16 iaitu Jerunei yang wujud di Sarawak. Kami tertarik untuk menghasilkan dokumentari dalam bentuk tesis.

“Kami berhasrat menghasilkan dokumentari menerusi hasil penyelidikan dan kajian yang dilakukan, di mana awalnya mahu dijadikan tesis untuk diserahkan kepada Muzium Sarawak,” katanya.

Katanya, pihak produksi buat kajian mendalam mengenai budaya dan sejarah Jerunei selama dua tahun dengan mendapat kerjasama dari Majlis Adat Istiadat Sarawak, Muzium Sarawak, Persatuan Melanau Kuching dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak.

“Pelbagai proses perlu dilalui sebelum mendapat kebenaran dari Majlis Adat Istiadat Sarawak untuk buat kajian berkaitan Jerunei di Mukah disebabkan keturunan masih wujud.

“Kami bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Profesor Datuk Dr Jeniri Amir. Beliau banyak berkongsi maklumat dan memberi nasihat mengenai sejarah Jerunei.

“Tidak ketinggalan, kami mendapat pertolongan mendiang Hat Kok Lai, mendiang Eric Michael Toyad dan John Ling dari Majlis Adat Istiadat Sarawak,” katanya.

Kos RM5 juta

Mengulas pembikinan filem itu, kata Wendy, ia membabitkan kos mencecah RM5 juta.

“Kos pembikinan filem sangat tinggi kerana membabitkan banyak penggunaan elemen kesan khas, VFX dan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) ketika penggambaran menggunakan skrin biru.

“Kami terpaksa mengeluarkan kos lebih RM100,000 untuk membawa peralatan teknikal dan reka bentuk yang besar dari Kuala Lumpur ke lokasi penggambaran di Kuching.

“Selain itu, filem ini membabitkan lebih 100 tenaga kerja membabitkan barisan pelakon, kru dan pelakon tambahan dari rakyat tempatan yang boleh berbahasa Melanau.

“Penggambaran filem mengambil tempoh selama 45 hari dan lokasi sepenuhnya di Kuching dan Siburan. Cuma, pada peringkat permulaan sahaja penggambaran dilakukan di Mukah.

“Ia dilakukan sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun selepas dua tahun, barulah kami menyiapkan proses suntingan filem,” ujarnya.



Sumpahan Jerunei arahan Jason Chong menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah dan ramai lagi.

Ia akan mula menjengah pawagam seluruh tanah air pada 27 Julai depan.