Rakam & Muat Naik Tanpa Izin, Iman Tang Anggap Penonton Curi Hak Cipta Konsert - “Saya Memang Tak Suka”
Penganjur Icon Entertainment, Iman Tang meluahkan rasa terkilan apabila penonton yang pernah hadir ke konsert bawah anjurannya memuat naik video konsertnya itu di platform YouTube.
Jelas Iman, dia mengakui dirinya tidak puas hati terhadap sikap segelintir penonton konsert yang terlalu fokus untuk merakam dan berkongsi video di YouTube semata-mata untuk menjadi yang pertama memuat naik rakaman konsert itu.
Hal ini kerana, Iman menyatakan penonton yang berbuat demikian seperti mencuri hak ciptaannya konsert yang dianjurkan oleh Icon Entertainment.
“Saya memang tak suka dan tak faham kenapa penonton yang hadir ke konsert perlu rakam video dan post di media sosial untuk menjadi orang yang nombor satu yang post video konsert tersebut
“Bagi saya itu adalah mencuri hak cipta penganjur. Saya dah bincang dengan pasukan saya untuk mencari jalan penyelesaian dimana jika penonton yang memuat naik video konsert dari pihak kami, kami mahu IP address itu link kembali kepada kami,” katanya kepada Gempak.
Iman Tang berkata demikian ketika ditemui semasa sesi latihan konsert yang berlangsung di My Studio, Sungai Buloh baru-baru ini.
Dalam masa sama, Iman mengakui pada awalnya dia tidak kisah jika penonton merakam video semasa konsert.
Namun, dia berasa kecewa apabila mengetahui ada segelintir penonton yang memuat naik video tersebut ke YouTube untuk menjana pendapatan.
“Saya tak marah dan tak kisah kalau penonton nak rakam untuk simpan peribadi, tapi saya kecewa bila mereka terus muat naik video konsert di YouTube sebab mereka boleh dapat duit daripadanya,” jelasnya.
Bagaimanapun, pihak Icon Entertainment akan cuba untuk mengawal penonton yang hadir ke Konsert Datuk M N46IR Cipta Raya pada Ahad ini termasuk memberi amaran sekiranya terdapat individu yang cuba memuat naik rakaman ke platform YouTube.
“Mungkin konsert Datuk M Nasir yang bakal berlangsung di Zepp KL pada Ahad ini, saya akan cuba untuk memberi amaran kepada penonton yang hadir untuk tidak memuat naik konsert itu di platform YouTube,” ujarnya.