Ramai Ingat Sama, Rupanya Fungsi Kad Kredit & Debit Jauh Beza!
Mungkin masih ada diantara kita yang keliru dengan perbezaan kad kredit dan kad debit.
Namun, menurut Pendidik Kewangan, Faiz Azmi, fungsi kedua-dua kad ini amat berbeza dan memberi kesan besar kepada cara seseorang menguruskan kewangan.
1. Keselamatan Transaksi
-
Kad Debit: Wang ditolak terus daripada akaun simpanan anda. Jika berlaku penipuan atau kecurian, duit boleh hilang serta-merta dan proses tuntutan semula biasanya mengambil masa, malah ada kemungkinan tidak dapat dipulangkan.
-
Kad Kredit: Lebih selamat kerana transaksi boleh dipertikai dengan pihak bank. Jika berlaku aktiviti mencurigakan, kad boleh dibatalkan serta-merta dan bank biasanya akan memulangkan jumlah transaksi tersebut.
2. Perancangan Bajet & Perbelanjaan
-
Kad Debit: Hanya boleh digunakan mengikut baki sebenar dalam akaun bank. Ini membantu pengguna mengawal perbelanjaan dan mengelakkan hutang.
-
Kad Kredit: Memberi fleksibiliti lebih besar. Boleh digunakan sebagai dana kecemasan, contohnya ketika perlu membayar deposit hospital sementara menunggu surat jaminan.
3. Ganjaran & Pulangan
-
Kad Debit: Jarang menawarkan ganjaran atau pulangan. Jika ada pun, jumlahnya sangat terhad.
-
Kad Kredit: Menawarkan pelbagai faedah seperti cashback, points, tiket penerbangan percuma, hingga akses lounge eksklusif di lapangan terbang.
Secara ringkasnya, kad debit lebih sesuai untuk mereka yang mahu berbelanja mengikut kemampuan serta mengekalkan disiplin kewangan, manakala kad kredit menawarkan kelebihan dari segi keselamatan, kecemasan dan ganjaran, namun tetap memerlukan kawalan penggunaan agar tidak membebankan diri dengan hutang.