Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Rayuan Sherie Merlis Didengari... Ahli Keluarga Positif COVID-19 Dikuarantin Di Hotel - "Penginapan, Makan & Minum Ditaja Sepenuhnya"

Amri Hassan
22/08/2021 15:20 MYT
Adik kepada dramatis Sherie Merlis yang positif COVID-19 akan menjalani kuarantin bersama suami dan anak-anaknya di sebuah hotel di ibu kota.

BACA: "Tolonglah... Saya Tak Tahu Apa Perlu Buat!" - Sherie Merlis Rayu Kuarantinkan Adik Positif COVID-19, Rumah Padat 11 Orang Bersesak!

Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga tersebut, hotel Royale Chulan Kuala Lumpur dengan kerjasama Megaklinik Zahran bermurah hati menghulurkan bantuan kepada mereka.

Pengurus Besar Royale Chulan Kuala Lumpur, Badrul Rezal Baharudin, berkata pihaknya akan menguruskan tempat tinggal dan rawatan sepanjang kuarantin selama 10 hari di hotel berkenaan.

"Pihak kami mengetahui mengenai keadaan Sherie selepas membaca artikel yang diterbitkan di Internet. Jadi, kami terus cuba menghubunginya.

"Kebetulan pula, rakan kerjasama kami iaitu Megaklinik Zahran turut ada menghubungi Sherie untuk membantunya.

"Pihak Megaklinik akan menguruskan hal rawatan serta kenderaan yang membawa keluarga itu ke hotel kami.

"Manakala kami akan menaja sepenuhnya dari segi penginapan dan makan minum sepanjang mereka kuarantin di hotel selama 10 hari," katanya.

Menerusi ujian calitan (swab test) yang dilakukan, adik Sherie bersama suami dan dua anak kecil mereka didapati positif COVID-19 dan sudah dibawa ke hotel itu kira-kira pukul 8 malam tadi.

Manakala ahli keluarga yang lain termasuk Sherie sudah menjalani ujian calitan dan disahkan tidak dijangkiti virus berkenaan.

Sherie pada Ahad menerusi siaran langsung Instagramnya meluahkan rasa bimbang terhadap nasib keluarganya yang tinggal serumah bersama adiknya yang disahkan positif COVID-19.

Lebih merisaukan kediaman yang dihuni 11 orang termasuk Sherie itu turut didiami ibu dan bapa Sherie yang kini sudah uzur serta berdepan penyakit kronik.

Adik perempuan Sherie terlebih dahulu disahkan positif COVID-19 namun diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin di rumah sehingga tindakan lanjut diambil dalam masa terdekat.
#pelakon #Viral #Adik #Rumah #Hotel #COVID-19 #Sesak #Sherie Merlis #Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur #Megaklinik Zahran
;