Polis telah menahan 15 gengster dalam satu rusuhan melibatkan dua kumpulan samseng berhampiran sebuah kedai makan di Pandan Indah, di sini pada Isnin.

Dilaporkan pelajar tingkatan lima merupakan antara 15 gengster yang terlibat.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha, lima suspek yang mengalami kecederaan di kepala dan badan dalam kejadian itu mendapat rawatan sebagai pesakit luar manakala seorang lagi ditempatkan di Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

Tambahnya lagi, tangkapan itu dibuat kira-kira pukul 10.30 malam ketika pasukan polis yang sedang menjalankan pemeriksaan terserempak sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan disyaki terlibat dalam pergaduhan.

Berdasarkan siasatan awal, punca pergaduhan itu dipercayai akibat perebutan kawasan antara dua kumpulan gengster.

"Kita masih lagi mengesan beberapa suspek yang masih lagi bebas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohamad Farouk, pemeriksaan awal juga mendapati empat daripada suspek itu mempunyai rekod lampau melibatkan kes curi dan merusuh.

Sementara seorang daripadanya, kata beliau, sebelum ini pernah ditahan dibawah Akta Pencegahan Jenayah.

"Mereka dipercayai menggunakan topi keladar dan kayu," ujarnya.

Menurut beliau, kesemua suspek yang berusia 17 hingga 35 tahun itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

Jelas Farouk lagi, siasatan ke atas kesemua suspek itu dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksan kerana merusuh.

Jika disabit kesalahan, katanya, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Justeru, Mohamad Farouk memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan mengambil tindakan sendiri dengan membelakangi undang-undang atau mengeluarkan kenyataan yang bercanggah sebelum memastikan kesahihannya.

Sumber / Foto: Astro Awani