Pereka fesyen terkenal tanah air, Melinda Looi melahirkan rasa syukur selepas acara pertunjukkan fesyen Melinda Looi Couture 2023: Through Our Eyes telah berlangsung dengan jayanya di Depot Sentul, Kuala Lumpur awal Oktober lalu.

Lebih bermakna lagi apabila projek tersebut turut melibatkan karya hasil lukisan anak perempuannya sendiri, Maya Luebebert, 14, secara langsung.

BACA: Pertama Kali Bekerjasama, Melinda Looi Bangga Karya Anak Sendiri Terlibat Dalam Projek Melinda Looi Couture 2023

Disebalik kejayaan cukup bermakna itu, Melinda turut berbesar hati mengumumkan penganjuran sebuah pameran yang diberi nama Through Our Eyes yang akan berlangsung di Book Xcess Lalaport, Kuala Lumpur pada 1 November ini.

Jelas Melinda, acara tersebut dianjurkan bertujuan memberi inpirasi kepada masyarakat mengenai seni fesyen yang diilhamkan daripada karya lukisan anaknya, Maya.

“Kerja-kerja seni yang hebat boleh diakses dan mudah difahami kepada semua orang.

Through Our Eyes bertujuan untuk memberi inspirasi kepada masyarakat mengenai inovasi dan kreativiti dalam fesyen. Cebisan koleksi serta karya seni daripada Maya akan dipamerkan dan terbuka kepada orang ramai untuk dilihat di Book Xcess di Lalaport selama dua minggu,” jelasnya.

Tambah ibu kepada empat cahaya mata itu, pameran Through Our Eyes akan dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu Past, Present dan Future.

“Pameran ini akan dibahagikan kepada tiga bahagian, Past, Present, dan Future. Past (masa lalu) akan terbayang bagaimana evolusi Maya bermula daripada lakarannya semasa dia masih muda.

Present(semasa) akan menunjukkan kerjasama semasanya, manakala Future (masa depan) akan memberi tumpuan kepada perkongsian dengan inisiatif kelestarian yang dikendalikan oleh Kumpulan Penerbangan Malaysia. Pameran ini juga diadakan untuk memupuk inspirasi dalam kalangan rakyat Malaysia,” kongsinya.

Terdahulu, sebuah acara amal bagi mengumpul dana kepada kanak-kanak yang memerlukan iaitu Charity For Children telah berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 Oktober lalu.

Pada acara amal berkenaan, Melinda turut melakukan lelongan beberapa pakaian daripada koleksinya dan hasil jualan tersebut disalurkan kepada golongan kanak-kanak yang memerlukan.