Kelmarin, negara digemparkan dengan satu insiden apabila seorang remaja warganegara Kanada dilapor pengsan di lot parkir sebuah pusat konvensyen di ibu negara.

Kes berkenaan viral di media sosial apabila ramai yang menganggap ia berkaitan dengan wabak koronavirus.

Namun, menerusi laporan Astro Awani, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan bahawa individu tersebut negatif koronavirus.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan pada Khamis, remaja perempuan berusia 17 tahun yang ditempatkan di wad pengasingan Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu telah pun dibenarkan pulang.

Menurut Dr Dzulkefly, pihaknya mengesahkan telah menerima laporan berhubung seorang wanita warga Kanada yang dikhuatiri dijangkiti Novel Koronavirus (2019-nCoV) di sebuah pusat konvensyen berkenaan.

"Bagaimanapun, wanita itu telah dibawa ke HKL untuk pengesahan dan rawatan.

"Kementerian Kesihatan juga telah melakukan semua prosedur yang ditetapkan dalam melakukan pemantauan ke atas remaja perempuan berkenaan," katanya.

Terdahulu, beberapa keping gambar telah tular di media sosial dan menunjukkan pasukan Hazmat berada di bangunan KLCC susulan panggilan yang diterima daripada Twin Tower Medical Clinic (TTMC) mengenai seorang individu didakwa disyaki positif 2019-nCoV.

Sumber: Astro Awani