Pelakon Remy Ishak kembali beraksi dalam sebuah drama bersiri berjudul Hijrah Jannah bergandingan dengan pelakon Danielle Sya dan Puteri Sarah Liyana.

Drama 40 episod dan akan ditayangkan bermula 5 Jun depan di Astro Ria itu mengisahkan tentang kehidupan seorang wanita memeluk Islam selepas berkahwin berubah menjadi mimpi ngeri.

Kisah bermula selepas berkahwin dengan Syawal Fitri (lakonan Remy Ishak), Janet (Danielle Sya) memeluk islam dan lantas dibuang keluarganya.

Namun kesukaran hidupnya itu bertambah buruk apabila ibu Syawal iaitu Puan Sri Rafidah (Khalidah Atlibah) nekad untuk menyiksa hidup menantunya itu.

Setiap Langkah Janet yang kini namanya Jannah tidak pernah betul, ada sahaja yang tidak kena.

Kebenciannya pada Jannah membawa kepada dia memaksa anaknya untuk berkahwin lagi sekali, kini dengan Wanita pilihannya; Munirah (Puteri Sarah).

Syawal akur dan menerima Munirah, tetapi dia tidak sama sekali menyangka isteri barunya itu adalah seorang yang berpura-pura baik sahaja.

Pernikahannya dengan Munirah bakal membawa pergolakkan diantara Syawal dan Jannah.

Demi mendalami agama barunya, Jannah mengambil inisiatif untuk belajar dan dalam proses berkenaan, dia berkenalan dengan Zakri (Ezaidi Aziz), salah seorang fasilitator di pusat pembelajarannya itu.

Zakri simpati dengan nasib Jannah dan pada masa yang sama menyimpan perasaan terhadapnya. Munirah yang sedar tentang perasaan dan niat Zakri mengambil peluang ini untuk menyemai benih sangsi di dalam hati Syawal.

Jalan cerita mengenai mualaf dimadukan dan kemunculan semula Puteri Sarah memegang watak antagonis membuatkan drama siri ini bertambah menarik untuk ditonton.

Drama mendapat sentuhan arahan daripada pengarah Feroz Kader dan penerbit David Teo yang sebelum ini pernah menerbitkan drama hit berjudul Bukan Syurga Pilihan.

Karya ini turut dibarisi pelakon Daniel Fong sebagai Danial, Hanna Halim sebagai Zahra, Riz Amin sebagai Azim, Erynn Abdullah sebagai Medina, Rahim Jailani sebagai Tan Sri Shaharudin, Angeline Tan sebagai Puan Lian, Kenji Sawahi sebagai Encik Kiat, Ooi Liang Chia sebagai Yin Lee, Ady Mohammad sebagai Ikram dan Kak Ema sebagai Mak Embun.