Pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara selama 14 hari bermula Rabu ini, manakala bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19, aktiviti sosial membabitkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan juga adalah tidak dibenarkan.

Bagaimanapun katanya, bagi negeri di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis dan Sarawak, aktiviti sosial adalah dibenarkan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas mengenai pelaksanaan PKP, hari ini.